Setiap orang mengimpikan kehidupan hari tua yang aman dan sejahtera. Sama ada anda sakit atau sihat, selagi tidak meninggal dunia, hari tua atau tempoh persaraan tetap akan tiba. Oleh itu, setiap orang perlu juga bercita-cita dan merancang sebaiknya berkenaan persediaan persaraan dan persiapan hari tua terutamanya dalam bab kewangan.

6 Langkah Persiapan Kewangan Sebelum Bersara (Hari Tua)

Menyedia dan merancang keperluan persaraan bukanlah sesuatu yang mudah. Anda hanya ada masa yang sangat terhad serta berhadapan risiko-risiko yang tidak dijangka dalam tempoh persediaan tersebut seperti sakit, kemalangan, kemerosotan ekonomi, inflasi dan dibuang kerja. Dan juga, keperluan yang hendak disediakan mestilah cukup untuk tempoh yang panjang. Usah berlengah, masa anda sangatlah terhad.

Berikut adalah 6 Langkah Persiapan Kewangan Sebelum Bersara (Hari Tua) :

  1. Kira Tempoh Persediaan dan Tempoh Persaraan.
  2. Mula Merancang Kewangan Secara Realistik.
  3. Pilih Instrumen Pelaburan Yang Tepat.
  4. Pilih Pelan Takaful Yang Sesuai.
  5. Konsistensi Dalam Pengurusan Kewangan.
  6. Gandakan Sumber Kewangan Sebelum Bersara Jika Perlu.

Keterangan untuk setiap langkah adalah seperti di bawah.

Kira Tempoh Persediaan dan Tempoh Persaraan

Tempoh Persediaan adalah tempoh anda membuat perancangan, menjana dan mengumpul simpanan.

Untuk kiraan, anda perlu menganggarkan pada umur berapa anda akan bersara. Kebiasaan untuk rakyat Malaysia, umur diantara 55 dan 65 tahun adalah realistik. Kemudian, ditolak dengan umur semasa anda. Anda akan dapat lihat berapa tahun yang berbaki untuk anda mula membuat segala persediaan dan persiapan sebelum anda melalui alam persaraan.

Tempoh Persaraan adalah tempoh anda menggunakan sepenuhnya hasil yang dijana dan dikumpul semasa Tempoh Persediaan.

Untuk kiraan, anda perlu menganggarkan sehingga umur berapa anda akan hidup. Kebiasaan untuk rakyat Malaysia hidup maksima adalah umur diantara 80 dan 85 tahun. Kemudian, ditolak dengan umur bersara.

Contoh kiraan Tempoh Persediaan dan Tempoh Persaraan :

  • Umur Semasa, 40. Umur Bersara, 60. Maka, Tempoh Persediaan = 20 Tahun (60-40).
  • Umur Anggaran Maksima Hidup, 85. Umur Bersara, 60. Maka, Tempoh Persaraan = 25 Tahun (85-60).
  • Dapat disimpulkan bahawa, anda hanya ada 20 Tahun (Tempoh Persediaan) untuk mengumpul segala hasil untuk digunakan untuk tempoh 25 Tahun (Tempoh Persaraan).

Mula Merancang Kewangan Secara Realistik

Setelah mengira Tempoh Persediaan dan Tempoh Persaraan, anda boleh merangka dan merancang bagaimana untuk anda dapat satu Amaun atau Jumlah yang realistik untuk digunakan sepanjang tempoh anda bersara.

Untuk dapatkan Amaun atau Jumlah ini secara mudahnya, kita sering menggambarkan Gaji Tahunan Semasa hanya perlu didarabkan dengan Tempoh Persaraan. Contohnya, Gaji Tahunan Semasa anda RM40,000. Didarabkan dengan 25 Tahun, jumlah yang perlu dikumpul adalah RM1,000,000.

Tetapi, anda perlu juga untuk memikirkan beberapa risiko yang akan berlaku sepanjang Tempoh Persediaan dan apakah unjuran yang akan berlaku dalam Tempoh Persaraan anda. Diantara risiko-risiko ini termasuklah :

  • Kadar Inflasi yang makin meningkat akibat ekonomi yang tidak stabil.
  • Tahap Kesihatan dan Kos Rawatan yang meningkat dari tahun ke tahun.
  • Risiko tidak mampu bekerja seperti biasa, akibat sakit dan sebagainya dalam Tempoh Persediaan.

Dapat disimpulkan bahawa, adalah lebih baik jika setelah anda mendapatkan Jumlah Anggaran tadi, perlu juga ditambah dengan minima 25%. Contohnya, RM1,000,000 (seperti di atas) ditambah dengan 25% bersamaan RM1,250,000.

Anda boleh menggunakan Kalkulator Persaraan di bawah untuk melihat Jumlah atau Amaun yang lebih tepat.

Pilih Instrumen Pelaburan Yang Tepat

Mungkin anda rasa sedikit terbeban dan tertekan apabila melihat Jumlah yang perlu dijana dalam tempoh masa yang singkat. Mungkin juga anda akan rasa jika kerja sekarang pun tidak membolehkan anda menyimpan dan mengumpul sedemikian jumlah.

Tidak mengapa, kerana banyak instrumen pelaburan yang boleh menjamin, meningkatkan dan menggandakan hasil yang anda sedang kumpul. Banyak Syarikat Simpanan dan Pelaburan yang sah diluar sana boleh membantu anda. Pilihlah mengikut yang sesuai dengan keperluan anda.

Selain KWSP, syarikat seperti ASB, Syarikat Pelaburan Unit Amanah dan Tabung Haji memberikan anda dividen dan faedah-faedah yang munasabah dan stabil.

Maka, daripada anda mengumpul sendiri atau hanya simpan di bank, kami syorkan anda untuk buat simpanan di syarikat-syarikat simpanan dan pelaburan, yang bukan sahaja menyelamatkan duit anda malah dalam masa yang sama mereka akan menggandakan simpanan anda.

Di antara alternatif yang lain, anda boleh melabur ke bidang hartanah. Beli rumah yang murah, kemudian buat sewaan. Ini juga instrumen pelaburan yang baik.

Jangan sesekali terjerat atau terpesona dengan skim cepat kaya. Ia bukan sahaja merugikan malah ia mungkin menyebabkan anda berhutang (defisit) dalam keadaan tidak sedar.

Pilih Pelan Takaful Yang Sesuai

Dalam Tempoh Persediaan, anda mungkin akan mengalami pelbagai risiko yang menyebabkan anda keluar duit kecemasan dalam angka yang sangat besar. Contohnya apabila ditimpa musibah seperti sakit yang menyebabkan anda dimasukkan ke hospital. Atau, lebih parah lagi, jika anda mengalami Penyakit Kritikal atau Lumpuh yang menyebabkan anda tidak lagi boleh bekerja.

Ketika itu, segala usaha anda untuk menjana simpanan hari tua mungkin akan terjejas sangat teruk.

Untuk mengelakkan risiko-risiko seperti ini dari terjadi, kami syorkan untuk anda ambil 3 jenis Pelan Takaful :

  1. Pelan Hibah : Pelan yang akan membantu keluarga anda dengan menyediakan pampasan jika berlaku kematian kepada anda. Dan, akan membantu anda sekiranya berlaku Hilang Upaya atau Cacat Kekal.
  2. Pelan Penyakit Kritikal : Pelan yang akan membantu anda dengan menyediakan pampasan jika berlaku Penyakit Kritikal kepada anda seperti Strok, Lumpuh dan sebagainya.
  3. Pelan Medical Card : Pelan yang akan membantu anda dengan menyelesaikan segala kos rawatan sekiranya anda sakit dan perlu dapatkan rawatan di Hospital.

Peruntukkan 10% dari Gaji atau Pendapatan anda untuk ketiga-tiga Pelan Takaful ini.

Dapat disimpulkan di sini, pelan utama anda adalah mengumpul, menjana dan menggandakan simpanan yang akan dibawa untuk Tempoh Persaraan. Dalam masa sama juga, sekiranya musibah berlaku, anda ada Back-up Plan iaitu Takaful yang akan membantu anda mengurus risiko-risiko tadi.

Konsistensi Dalam Pengurusan Kewangan

Apapun perancangan yang dibuat, walaupun dicatat atas kertas. Segalanya perlu berjalan dengan konsistensi yang kukuh. Anda perlu ada kesedaran serta disiplin dalam memastikan tujuan dan impian anda tercapai.

Mungkin bagi kebanyakan orang, mula dengan merasa beban yang besar. Namun, ia tetap perlu diteruskan. Kami percaya beban hanyalah sementara. Apabila ia telah menjadi kebiasaan, ia tidak lagi menyebabkan anda tertekan. Anggap ia adalah rutin yang perlu dipenuhi setiap hari, setiap bulan dan setiap tahun.

Dan, paling penting. Elakkan berhutang dari perkara-perkara yang bukan keperluan. Susun kewangan dengan berhemah. Anda akan rasa nikmat yang besar tanpa hutang walaupun tidak nampak mewah di mata masyarakat.

Gandakan Sumber Kewangan Sebelum Bersara Jika Perlu

Jika ada kelapangan atau ruang masa yang banyak, anda boleh cuba untuk berniaga. Banyak rangkaian perniagaan yang boleh dicuba. Tidak semestinya anda kena ada produk sendiri. Anda boleh cuba untuk promosikan dan dapat komisyen.

Ruang dan peluang terbuka baik secara online mahupun offline. Mulakan dengan modal yang kecil, jual sedikit demi sedikit. Dan jangan buat sesuatu sehingga terjejas periuk nasi hakiki.

Semoga kita semua dapat hidup dalam Tempoh Persaraan dengan sangat tenang dan aman. Artikel ini tidaklah menjanjikan kekayaan. Tetapi lebih kepada pengurusan kewangan agar anda tidak meminta-minta di kemudian hari. Yang pasti, jika anda usaha buat yang terbaik, anda akan dapat yang terbaik.

Mencari Pelan Takaful?

Kami Bantu Anda Untuk Rangka Pelan Takaful Anda