Majlis Fatwa Kebangsaan/Negeri telah menyatakan, Insurans adalah Haram dan Takaful adalah Harus (Halal). Ia ditentukan dengan mengambil kira beberapa faktor. Antaranya Akad, Perjudian, Riba, Ketidakpastian, dan lain-lain.

Takaful vs Insurans

Apa Itu Insurans?

Insurans adalah pelan perlindungan konvensional. Sijil atau polisi boleh diperolehi dari syarikat insurans, dengan Akad Jual Beli. Beli polisi dengan tujuan akan memperolehi sejumlah wang sekiranya berlaku musibah seperti kematian, atau hilang upaya, atau penyakit kritikal atau sebagainya.

Sebagai contoh, syarikat XYZ-Insurance menawarkan polisi insurans berharga RM100 sebulan. Polisi tersebut menjanjikan, sekiranya berlaku musibah, pelanggan akan menerima sejumlah pampasan sebanyak RM1,000,000. A berminat. Lalu, A mendapatkan polisi tersebut dengan Akad Jual Beli.

Beza Insurans

Apa Itu Takaful?

Takaful adalah pelan perlindungan patuh syariah. Sijil atau polisi boleh diperolehi dari syarikat takaful, dengan Akad Menyumbang (Menderma / Tabarru’). Menyumbang di dalam Tabung Tabarru’ dengan tujuan akan membantu peserta-peserta yang menyumbang dalam Tabung yang sama. Sekiranya salah seorang peserta berlaku musibah seperti kematian, atau hilang upaya, atau penyakit kritikal atau sebagainya, sumbangan tersebut akan diberikan kepadanya mengikut kadar yang telah dipersetujui.

Sebagai contoh, syarikat AIA-Takaful menawarkan polisi takaful dengan Yuran Sumbangan RM100 sebulan. Polisi tersebut menyatakan, sekiranya berlaku musibah, peserta akan menerima sejumlah sumbangan sebanyak RM100,000. B berminat. Lalu, B mendapatkan polisi tersebut dengan Akad Menyumbang (Menderma).

Beza Takaful Insurans

Kenapa Insurans Haram dan Takaful Halal?

1. Akad

Takaful menggunakan konsep Akad Menderma. Sebagai contoh, 10 orang peserta menderma di dalam sebuah tabung. Berlaku musibah kepada salah seorang peserta, sejumlah duit sumbangan diambil dari tabung dan diserahkan kepada peserta tadi. Manakala,

Insurans menggunakan konsep Akad Jual Beli. Pelanggan akan membeli polisi dari syarikat insurans yang menawarkan jaminan sekiranya pelanggan membayar sekian-sekian amaun, berlaku musibah, syarikat akan membayar pampasan berganda-ganda.

Maka, timbul beberapa isu yang menyebabkan ianya menjadi haram. Antaranya :

  • Perjudian (Maisir)
  • Riba (Penindasan)
  • Ketidakpastian (Gharar)

2. Perjudian (Maisir)

Apabila anda membeli insurans dengan harga RM100 dan dijanjikan RM1,000,000, perbezaan dan percanggahan nilai ini amat ketara. Di sini wujudnya unsur perjudian. Bayar sedikit, untungnya banyak. Di dalam Muamalat Islam, jika kita beli sesuatu dengan harga RM100, barang yang akan diperolehi kena sama nilai RM100.

Takaful menggunakan akad derma dan menabung. Berlaku musibah, duit di dalam tabung tadi akan digunakan untuk bantu peserta atau waris peserta.

3. Riba (Penindasan)

Untuk menambah nilai di dalam Tabung Tabarru’ maka pelaburan perlu dibuat. Segala pelaburan di bawah takaful akan melalui Majlis Penasihat Syariah (Syariah Advisory Council). Medium Pelaburan mestilah Patuh Syariah. Maka, tiada Riba.

Sebaliknya dengan Insurans, syarikat insurans berhak untuk melabur dimana pun mereka mahu. Tanpa mengambil kira pelaburan haram seperti judi, arak dan lain-lain.

4. Ketidakpastian (Gharar)

Di dalam Islam, apabila kita membeli sesuatu, mestilah ianya pasti. Pasti dari segi rupa, nilai dan tempoh.

Disebabkan akad jual beli yang digunakan dalam insurans, maka wujudnya ketidakpastian yang besar terutamanya dari segi tempoh. Sama sekali kita tidak tahu atau tidak pasti bila kita akan terima musibah.

Manakala, Takaful, akadnya derma. Derma tidak terikat dengan hukum jual beli. Kita setuju derma akan diberikan kepada yang menerima musibah, dan peserta lain setuju jika perkara sama berlaku kepada kita.

Kesimpulan

Apabila anda menyertai Takaful, niat anda mestilah untuk menderma. Bukan berharap akan dapat satu amaun yang dijanjikan apabila berlaku musibah. Tujuan anda mestilah mahu membantu sesama muslim yang menyertai takaful yang sama jika berlaku musibah.

Bagi anda yang masih mempunyai insurans, segeralah menutup insurans dan tukarlah kepada takaful. Tetapi, jika darurat seperti anda tahu anda sudah tidak lagi sihat, kalau daftar takaful semestinya tidak akan lulus, itu ada hukum yang lain yang boleh dibincang kemudian.

Mencari Pelan Takaful?

Kami Bantu Anda Untuk Rangka Pelan Takaful Anda