Ramai yang sangka Takaful dan Insurans benda yang sama. Salah! Konsep Takaful asasnya adalah Mudharabah. Kemudian wujud penambahbaikan sistem seperti Wakalah, Waqaf, Ju’alah, Wadiah, Musyarakah, Kafalah dan Tabarru’.
Pengenalan Takaful
Walaupun industri takaful telah bermula dari 1984 dan telah berkembang pesat namun masih terdapat segelintir umat Islam dan bukan Islam yang sangsi dengan sistem ini.
Perkataan Takaful berasal daripada perkataan Arab iaitu ‘Kafala’ (perlindungan bersama) di mana para peserta takaful menyumbang dalam satu tabung bagi tujuan perlindungan bersama jika berlaku musibah di kalangan para peserta. Seksyen 2, Akta Perkhidmatan kewangan Islam 2013 menggunakan tafsiran sama.
Konsep takaful ini digalakkan oleh syariah kerana terdapatnya unsur Tabarru’ (derma) dimana para peserta saling bantu membantu sesama ahli peserta yang di dalam kesusahan. Tabarru’ bermaksud memberi sesuatu kepada pihak lain tanpa mengharapkan sebarang pembalasan.
Dalil Berkaitan Bantu-Membantu Dalam Takaful
Amalan bantu-membantu ini amat digalakkan oleh Islam berasaskan al-Qur’an :
Surah Al- Maidah Ayat 2 yang bermaksud “..dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”
Takaful merupakan salah satu strategi pengurusan risiko yang mana kolektif risiko akan dikongsi bersama dengan ahli peserta yang lain. Kadang-kadang musibah tidak dapat diselesaikan sendiri tanpa bantuan orang lain.
Dalam hadith Rasulullah SAW, orang Badwi datang jumpa Rasulullah dengan melepaskan untanya tanpa ditambat. Apabila ditanya oleh Rasulullah kenapa berbuat demikian, mereka menjawab bahawa cukup sekadar bertawakkal kepada Allah dan RasulNya. Apabila mendengar perkara tersebut Rasulullah menyatakan dengan tegas, ikat unta tersebut kemudian baru berserah atau bertawakal kepada Allah.
Hadis ini menggambarkan bahawa umat Islam perlu usaha mengurangkan risiko dengan melakukan perkara yang sepatutnya dan setelah itu barulah bertawakal kepada Allah.
Malahan satu kaedah dalam perundangan Islam (Qawaid Fiqhiyyah) menyatakan bahawa Al-Darar Yuzal (kerosakan hendaklah dielakkan). Kaedah perundangan ini menyarankan apabila kerosakan berlaku kena ada usaha untuk mengurangkannya. Oleh itu, Takaful adalah sebagai satu mekanisma untuk mengelakkan kerosakan apabila sesuatu perkara itu berlaku.
Salah Faham Umat Islam Dalam Konteks Takaful
Terdapat salah faham umat Islam yang menyatakan bahawa takaful adalah sesuatu yang bertentangan dengan qada’ dan qadar Allah. Mereka berpendapat umat Islam hendaklah menerima seadanya apa sahaja yang bakal dan telah berlaku sebagai qada’ dan qadar Allah.
Segolongan yang lain menyatakan bahawa takaful juga adalah salah satu bentuk perjudian, sama seperti insurans. Malahan mereka menyatakan tiada beza langsung di antara insurans dengan takaful, kerana beranggapan takaful juga suatu bentuk jual beli perlindungan.
Jawapannya, sistem takaful adalah suatu tindakan untuk mengurangkan risiko atau mengelak kerosakan atau kesusahan apabila berlaku, tanpa menafikan bahawa umat Islam tidak boleh lari dari qada’ dan qadar Allah.
Sesuai dengan peristiwa Saidina Umar al-Khattab yang larang umat Islam untuk pergi ke satu kawasan yang dijangkiti wabak taun. Apabila ditanya para sahabat adakah Saidina Umar cuba lari dari qada’ dan qadar Allah. Lalu Umar menjawab dengan tegas bahawa aku lari dari satu qadar kepada suatu qadar yang lain.
Konsep takaful bukanlah berbentuk perjudian sepertimana insurans kerana konsep asas takaful ialah Tabarru’: Derma yang mana para peserta saling bantu membantu di kalangan ahli dan bukannya konsep beri keuntungan kepada setengah pihak semata-mata.
Tiada istilah menang atau kalah dalam konsep takaful kerana semuanya berbentuk tolong menolong dari tabung tabarru’ tadi. Ini adalah asas perbezaan yang paling ketara di antara takaful dan insurans yang semestinya telibat dengan perjudian, riba dan ketidakpastian.
Ini juga menafikan konsep jual beli polisi dalam takaful malahan ianya adalah berbentuk tolong-menolong dikalangan ahli atau peserta. Pengendali takaful hanya bertindak sebagai badan yang menguruskan tabung tabarru’ peserta tadi bagi tujuan perlindungan bersama peserta. Tiada konsep jual beli pelan perlindungan dalam sistem Takaful.
Kesimpulan
Industri takaful adalah sangat penting dalam menyokong perkembangan sistem kewangan Islam di Malaysia. Fleksibiliti syariah dalam industri takaful adalah pemangkin kepada inovasi produk takaful yang lain.
Sokongan dari umat Islam di seluruh dunia amat diharapkan agar semua salah faham ini dapat dijernihkan kembali.
Lihat Juga : Dalil Quran dan Hadith Berkenaan Takaful
Mencari Pelan Takaful?
Kami Bantu Anda Untuk Rangka Pelan Takaful Anda