Wasiat adalah salah satu cara untuk menyerahkan harta benda atau perkara lain kepada seseorang selepas berlakunya kematian. Wasiat sah dilakukan baik secara lisan, tulisan mahupun isyarat.

Wasiat Secara Lisan | Kelebihan dan Kekurangan

Artikel ini akan membincangkan berkenaan Kelebihan dan Kelemahan Wasiat Secara Lisan.

Apakah Wasiat Secara Lisan?

Wasiat Secara Lisan adalah wasiat yang disampaikan secara ucapan tanpa ada rekod bertulis. Contohnya, seseorang menyebut “Aku wasiatkan kau, rumah ini akan jadi milik kau selepas aku mati”.

Wasiat secara lisan Sah mengikut hukum Syarak dengan ketetapan :

  • Pewasiat (Pemberi Wasiat) hidup dan berakal waras, bukan dalam keadaan nazak.
  • Dilafaz di hadapan 2 orang saksi jika ianya harta mutlak.
  • Penerima wasiat masih hidup.

Kelebihan Wasiat Secara Lisan :

  1. Sah menurut Syarak.
  2. Mudah dan Cepat untuk dibuat.
  3. Sunnah yang digalakkan oleh Rasulullah S.A.W.

Kekurangan Wasiat Secara Lisan :

  1. Bukti wasiat yang kurang kukuh.
  2. Ucapan wasiat boleh dipertikai.
  3. Sukar untuk mendapat pengesahan di peringkat Mahkamah.

Keterangan berkenaan Kelebihan dan Kekurangan Wasiat Secara Lisan adalah seperti di bawah.

Kelebihan Wasiat Secara Lisan

1. Sah Menurut Syarak

Wasiat secara lisan adalah sah menurut syarak, yang penting memenuhi rukun dan syarat yang ditetapkan dalam Islam.

Rukun wasiat terdiri daripada :

  1. Pemberi Wasiat.
  2. Penerima Wasiat.
  3. Harta yang hendak diwasiatkan.
  4. Lafaz Ijab dan Qabul (Akad Wasiat).

Syarat wasiat termasuklah :

  1. Jumlah wasiat tidak boleh melebihi satu pertiga (1/3) dari jumlah keseluruh harta pusaka.
  2. Wasiat tidak boleh bertentangan dengan faraid.
  3. Wasiat tidak boleh mengandungi perkara yang haram.
  4. Dan sebagainya.

2. Mudah Dan Cepat Untuk Dibuat

Wasiat secara lisan adalah mudah dan cepat untuk dibuat. Kerana, pewasiat hanya perlu menyampaikan wasiat kepada penerima wasiat dengan bahasa yang mudah difahami, jelas, tegas dan senang untuk penerima menunjukkan tanda persetujuan.

Wasiat secara lisan boleh dilakukan pada bila-bila masa sementara pewasiat masih berakal waras dan tidak dalam keadaan Sakaratul Maut (nazak).

3. Sunnah Yang Digalakkan Oleh Rasulullah S.A.W.

Wasiat secara lisan adalah sunnah yang digalakkan oleh Rasulullah S.A.W. Ia dilakukan bagi menunjukkan rasa kasih, ehsan dan hormat kepada ahli keluarga, sahabat handai, dan orang lain yang berhak menerima wasiat.

Wasiat juga boleh menjadi sebab untuk mendapat redha, rahmat dan keampunan Allah S.W.T.

Kekurangan Wasiat Secara Lisan

1. Bukti wasiat yang kurang kukuh

Wasiat secara lisan adalah kurang kukuh dan boleh dipersoalkan. Kerana, ia tidak mempunyai hitam putih sebagai bukti yang mengesahkan kenyataan secara detail. Wasiat secara lisan boleh disalahfaham, dilupakan, disalah sebut, mahupun ditotok tambah oleh pewasiat, penerima wasiat atau saksi-saksi.

Wasiat secara lisan kemungkinan dipengaruhi oleh emosi, tekanan atau keterpaksaan dari pihak-pihak lain. Atas sebab ini jugalah, Islam tidak membenarkan wasiat dibuat ketika Sakaratul Maut (nazak) kerana tidak mahu ada kesangsian berbangkit dikemudian hari.

2. Ucapan wasiat boleh dipertikai

Wasiat secara lisan kemungkinan berisiko menimbulkan pertikaian, pergaduhan dan perbalahan sesama waris, keluarga mahupun penerima wasiat. Ia kerap berlaku akibat ketidakpuasan hati dan mempunyai unsur tidak percaya apa yang diwasiatkan. Kemungkinan wujud komplot untuk membolot harta sesama sendiri.

Jika ianya tidak mendapat kata sepakat, maka pembahagian secara Faraid adalah cara terbaik untuk menyelesaikan semua.

3. Sukar untuk mendapat pengesahan di peringkat Mahkamah

Sekiranya pengagihan harta wasiat ingin dilaksanakan secara sah atau jika berlaku pertikaian dari mana-mana pihak, wasiat secara lisan sukar untuk diuruskan di peringkat Mahkamah. Kerana, amatlah sukar untuk mendapat bukti-bukti yang kuat dan kukuh dari segi sebutan, ucapan dan keterangan yang difahami pewasiat kepada penerima wasiat, walaupun terdapat 2 orang saksi.

Tambahan pula pada zaman ini sistem hitam putih sangat diperlukan dalam setiap perbicaraan. Kalau pun ingin meneruskan perbicaraan berdasarkan wasiat secara lisan, kemungkinan kos guaman mahkamah sangatlah tinggi berbanding wasiat menggunakan tulisan yang mempunyai detail dan tandatangan pewasiat, penerima wasiat dan 2 orang saksi.

Kesimpulan

Wasiat secara lisan adalah sah mengikut hukum syarak selagi mana mengikut rukun dan syarat yang ditetapkan. Namun begitu, dalam situasi dunia yang makin moden dan untuk tidak berlaku pertikaian pada masa hadapan, wasiat secara bertulis (hitam putih) adalah amat digalakkan. Ia juga memudahkan urusan waris dan semua pihak yang terlibat.

Mencari Pelan Takaful?

Kami Bantu Anda Untuk Rangka Pelan Takaful Anda