Isi Kandungan

Setiap keluarga mempunyai impian. Seperti, mengimpikan sebuah rumah yang selesa, pendidikan terbaik untuk anak-anak, dan persaraan yang tenang.

Kenapa Takaful adalah Tonggak Utama Kewangan Keluarga?

Sekarang, bayangkan Pelan Kewangan Keluarga anda adalah seperti membina sebuah rumah idaman. Tiang-tiang utamanya adalah matlamat kewangan anda. Satu tiang untuk dana pendidikan, satu untuk simpanan, satu lagi untuk pelaburan, dan satu untuk persaraan.

Ramai di antara kita bekerja keras setiap hari untuk membina tiang-tiang ini setinggi dan sekukuh yang mungkin. Namun, dalam keghairahan mendirikan tiang agar nampak gah, ramai yang terlepas pandang bahagian paling kritikal iaitu asas atau tapak rumah itu sendiri.

Apa akan berlaku pada rumah yang cantik itu jika tiba-tiba berlaku “gempa bumi” kehidupan? Tanpa asas atau tapak yang kukuh, tiang-tiang yang anda bina dengan penat lelah boleh retak, malah runtuh dalam sekelip mata.

Asas atau tapak konkrit dalam Pelan Kewangan Keluarga anda ialah Pengurusan Risiko. Dan tonggak utamanya, tidak lain tidak bukan adalah Takaful. Artikel ini akan menerangkan mengapa Takaful bukan sekadar satu pilihan, tetapi merupakan perkara asas yang wajib ada untuk melindungi setiap impian yang anda bina untuk keluarga tercinta.

4 Risiko Utama Yang Berlaku Dalam Keluarga

Risiko adalah sebahagian daripada lumrah kehidupan. Dalam Perancangan Kewangan, kita tidak boleh menghalangnya daripada berlaku, tetapi kita boleh dan mesti merancang untuk menguruskan impak kewangan sekiranya ia berlaku. Bagi setiap keluarga, terdapat empat risiko terbesar yang berpotensi melumpuhkan kewangan.

1. Kematian kepada Pencari Nafkah (Ketua Keluarga)

Ini adalah risiko paling getir. Apabila pencari nafkah utama meninggal dunia, sumber pendapatan keluarga akan terhenti serta-merta. Namun, komitmen bulanan tidak berhenti. Pinjaman rumah, ansuran kereta, bil utiliti, dan perbelanjaan harian terus berjalan. Impian untuk melihat anak-anak menyambung pelajaran ke menara gading mungkin terpaksa dilupakan.

2. Serangan Penyakit Kritikal

Dengan peningkatan kes kanser, sakit jantung, dan strok di Malaysia, risiko ini semakin hampir dengan kita. Impak kewangannya pasti akan berganda. Pertama, kos rawatan di hospital swasta yang boleh mencecah ratusan ribu ringgit. Kedua, pesakit mungkin terpaksa direhatkan atau diberhentikan kerja untuk satu tempoh yang lama, menyebabkan kehilangan pendapatan yang drastik. Simpanan yang dikumpul bertahun-tahun boleh lesap hanya dalam beberapa bulan sahaja.

3. Hilang Upaya (Cacat Kekal)

Sama ada disebabkan kemalangan atau penyakit, hilang upaya atau cacat kekal cacat adalah satu lagi musibah yang boleh jadi bencana kewangan. Ia bukan sahaja menghentikan keupayaan seseorang untuk menjana pendapatan, malah kos sara hidup pula seringkali meningkat. Keluarga mungkin terpaksa menanggung kos penjagaan khas, pengubahsuaian rumah yang mesra kerusi roda, atau membeli peralatan bantuan tambahan yang semestinya mahal.

4. Kemalangan dan Kos Perubatan

Walaupun tidak seberat tiga risiko di atas, kemalangan dan sakit yang memerlukan kemasukan dan rawatan di hospital beserta pembedahan boleh menelan belanja ribuan ringgit. Bil perubatan yang tidak dijangka ini boleh mengganggu aliran tunai bulanan, dan mungkin memaksa anda untuk mengorek dana yang sepatutnya digunakan untuk tujuan lain.

Bagaimana Takaful Berfungsi Sebagai Penyelamat Anda dan Keluarga?

Takaful direka khusus untuk menjadi pembantu dan penyelamat anda sekiranya musibah-musibah di atas berlaku. Ia menyediakan dana atau tunai segera pada waktu yang paling diperlukan, untuk memastikan kewagan keluarga dapat terus berdiri teguh.

Jika berlaku Kematian

Hibah Takaful akan membayar pampasan tunai yang besar dalam tempoh segera terus kepada penama atau waris. Wang ini boleh digunakan untuk menggantikan pendapatan yang hilang untuk beberapa tahun ke hadapan, melangsaikan hutang-hutang si mati, dan memastikan kelangsungan hidup keluarga tidak terjejas.

Jika Diserang Penyakit Kritikal

Pelan Penyakit Kritikal akan memberikan pampasan tunai sekaligus ke dalam akaun anda. Dana ini boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan sara hidup dalam tempoh anda tidak bekerja, membayar kos rawatan alternatif yang tidak dilindungi oleh kad perubatan (medical card), atau apa sahaja keperluan lain.

Jika Berlaku Hilang Upaya (Cacat Kekal)

Rider Hilang Upaya Kekal akan memberi pampasan tunai, manakala Rider Pengecualian Sumbangan (Waiver) akan memastikan semua polisi Takaful anda yang lain terus aktif tanpa anda perlu membuat sebarang bayaran lagi. Dalam erti kata lain, Rider Waiver membantu anda untuk tolong bayarkan polisi lain seperti Pelan Medical Card tanpa anda perlu terus mencarum.

Jika Perlu Rawatan di Hospital

Kad Perubatan Takaful (Medical Card) akan melindungi simpanan anda dengan menanggung segala kos rawatan yang mahal terus kepada pihak hospital.

Apa Beza Simpanan Kecemasan dan Takaful?

Pandangan bahawa “Saya ada simpanan kecemasan di bank, jadi saya tak perlukan Takaful.” adalah pandangan yang berbahaya. Kedua-duanya penting, tetapi fungsinya amat berbeza.

Simpanan Kecemasan

Simpanan atau Tabung Kecemasan bertujuan untuk menyelesaikan masalah berskala kecil dan sederhana. Dana simpanan ini yang akan anda gunakan jika tayar kereta pecah, peti sejuk rosak, atau jika anda kehilangan kerja dalam tempoh sementara.
Pakar kewangan menyarankan simpanan sebanyak 3 hingga 6 bulan gaji pendapatan. Contohnya, jika gaji bulanan anda RM3,000 anda perlu menyimpan sekurang-kurangnya RM9,000 (3 bulan). Pastinya, ia sama sekali tidak akan cukup untuk membayar kos rawatan kanser sebanyak RM200,000. Jadi, nak atau tidak, anda perlu ada Takaful.

Takaful

Takaful pula direka untuk bencana kewangan berskala besar dan tidak dijangka (catastrophic events). Ia berfungsi menggunakan prinsip leverage, dengan membayar sumbangan (caruman) bulanan yang kecil (contohnya RM200), anda mendapat perlindungan bernilai ratusan ribu ringgit, satu jumlah yang mustahil untuk dikumpul di Simpanan Kecemasan dalam masa yang singkat.

Analoginya mudah, Simpanan Kecemasan adalah seperti alat pemadam api kecil di dapur anda, sesuai untuk memadamkan api kecil pada kuali. Takaful pula adalah panggilan terus kepada seluruh pasukan bomba, yang lengkap dengan jentera dan tangki air untuk memadamkan api yang sedang marak membakar seluruh rumah. Anda perlukan kedua-duanya untuk jenis kebakaran dan musibah yang berbeza.

Bila Masa Terbaik Untuk Mula Buat Takaful?

Jawapannya, sekarang. Prinsip Takaful adalah mudah, sumbangan (caruman) anda adalah berdasarkan tahap risiko anda. Semakin muda dan sihat anda, semakin rendah risiko anda di mata Syarikat Takaful.

Terdapat tiga kelebihan utama jika anda mula Takaful di awal usia (muda):

  1. Yuran Sumbangan Jauh Lebih Rendah. Anda akan ditawarkan dengan kadar sumbangan yang lebih murah untuk seumur hidup. Sumbangan bulanan untuk seorang individu sihat berumur 25 tahun adalah jauh lebih rendah berbanding pemohon berumur 45 tahun, walaupun mereka memohon perlindungan yang sama.
  2. Kelulusan Takaful Lebih Mudah. Pada usia muda, besar kemungkinan anda belum mempunyai sebarang rekod penyakit (pre-existing conditions). Ini menjadikan permohonan anda lebih mudah diluluskan tanpa sebarang klausa pengecualian atau kenaikan harga atau kemungkinan permohonan anda ditolak.
  3. Ketenangan Fikiran yang Lebih Lama. Anda memberi diri anda dan keluarga perlindungan untuk tempoh yang lebih panjang, membolehkan anda fokus membina simpanan, kekayaan, cita-cita yang lain dengan lebih yakin.

Kesimpulan

Kembali kepada analogi rumah kita. Sebuah pelan kewangan yang hanya fokus pada pelaburan dan simpanan tanpa pengurusan risiko adalah seperti membina sebuah istana yang indah di atas pasir pantai. Ia mungkin kelihatan gah, tetapi ia akan ranap walaupun hanya dilanda ombak pertama.

Takaful bukanlah satu perbelanjaan semata. Ia adalah satu pelaburan untuk melindungi semua jenis pelaburan dan impian anda yang lain. Dengan adanya Pelan Takaful yang kukuh, anda boleh fokus menyimpan untuk pendidikan anak-anak dan melabur untuk persaraan dengan lebih yakin dan tenang, kerana anda tahu asas kewangan kini dalam keadaan selamat.

Ambil masa hari ini untuk duduk bersama pasangan anda dan lakukan satu “audit” keluarga. Tanya soalan-soalan yang sukar tetapi penting: “Jika pendapatan saya terhenti esok, berapa lama keluarga kita boleh bertahan?” “Adakah simpanan kita cukup untuk menampung kos perubatan yang serius?”

Jangan bertangguh. Berjumpalah dengan Ejen atau Perunding Takaful yang professional dan mulakan langkah pertama untuk membina asas kewangan keluarga yang benar-benar kukuh dan tidak boleh digugat.

Kongsikan Artikel Ini

Mencari Pelan Takaful?

Kami Bantu Anda Untuk Rangka Pelan Takaful Anda