Seorang suami dan bapa yang prihatin kepada keluarganya akan mengambil sekurang-kurangnya satu Pelan Takaful Hibah demi melindungi masa depan diri dan keluarganya.
Dengan niat yang baik, beliau akan meletakkan nama isterinya sebagai penama, dengan anggapan wang pampasan itu secara automatik akan menjadi hak milik mutlak si isteri apabila beliau meninggal dunia di kemudian hari.
Namun, selepas pemergiannya, menjadi kebiasaan akan timbul pertikaian tentang pampasan Takaful tersebut. Waris-waris lain mula mempersoalkan keadilan pembahagian pampasan, mendakwa wang pampasan itu adalah harta pusaka dan perlu diagihkan mengikut hukum Faraid.
Senario di atas amat kerap berlaku dan ia berpunca daripada satu kekeliruan besar dalam masyarakat iaitu adakah pampasan Takaful dinilai sebagai harta pusaka yang perlu difaraidkan atau sebagai Hibah. Salah faham ini bukan sahaja mencetuskan pergaduhan keluarga yang tegang, malah ia menyumbang kepada persepsi salah bahawa “Takaful Hibah tidak kukuh dan boleh dicabar”.
Artikel ini bertujuan untuk meleraikan kekeliruan ini. Kita akan mendalami beberapa perkara, antaranya :
- Membezakan secara jelas antara Faraid dan Takaful Hibah.
- Memahami rukun dan syarat yang menjadikan Hibah itu sah.
- Menerangkan situasi sebenar di mana satu hibah itu boleh dipertikaikan, serta bagaimana untuk memastikan ia menjadi alat perancangan harta yang tidak boleh dicabar.
Faraid dan Takaful Hibah. Apa Bezanya?
Untuk elak kekeliruan, kita perlu faham bahawa kedua-dua instrumen ini mempunyai tujuan dan pelaksanaan kaedah yang berbeza.
Apakah Itu Faraid?
Faraid adalah undang-undang Allah SWT berkaitan pembahagian harta pusaka seorang Muslim yang telah meninggal dunia. Ia adalah satu sistem yang wajib diikuti. Kadar pembahagiannya kepada waris-waris yang layak (seperti isteri, suami, anak lelaki, anak perempuan, ibu, dan bapa) telah ditetapkan secara spesifik di dalam Al-Quran.
Skop harta Faraid meliputi semua aset si mati yang tidak dihibahkan (dihadiahkan) atau diserah milik semasa hayatnya, termasuk wang tunai, hartanah, saham, kenderaan, dan pampasan Takaful yang tiada deklarasi hibah yang sah dibuat. Proses pencairan harta-harta ini melibatkan permohonan Sijil Faraid dari Mahkamah Syariah dan boleh mengambil masa yang lama untuk diselesaikan.
Apakah Itu Takaful Hibah?
Takaful Hibah pula ialah satu Kontrak Pemberian Aset Bersyarat. Dalam erti kata lain, Kontrak ini memberitahu bahawa Pemberian Aset akan dibuat dengan Syarat berlakunya kematian pada pemegang Kontrak. Dalam konteks ini, manfaat pampasan Takaful Hibah, yang dibuat secara sukarela oleh pemiliknya semasa beliau masih hidup, tanpa mengharapkan sebarang balasan.
Ia adalah satu transaksi yang berlaku antara pemberi (pemegang polisi) dan penerima (penama). Apabila pampasan Takaful telah dihibahkan dengan sempurna, ia tidak lagi dianggap sebagai harta pusaka si mati.
Maka, tidaklah ia tertakluk kepada pembahagian secara Faraid. Proses tuntutannya jauh lebih pantas; Syarikat Takaful akan membayar pampasan terus kepada penerima hibah (penama) yang telah dinamakan.
Maka, secara ringkasnya :
Faraid | Takaful Hibah |
---|---|
Pembahagian harta pusaka selepas kematian | Persetujuan pemberian aset semasa hayat |
Pembahagiannya wajib | Pembahagian secara sukarela |
Kena laksana selepas kematian pemilik harta | Kena laksana semasa pemilik harta masih hidup |
Penerima telah ditetapkan oleh syarak | Penerima boleh menjadi milik sesiapa pun |
2Tuntutan melalui proses pentadbiran pusaka (Mahkamah) | Tuntutan terus dari Syarikat Takaful |
Syarat Sah Takaful Hibah: Perkara Asas yang Wajib Dipenuhi
Takaful Hibah tidak akan sah dan tidak akan laku di sisi undang-undang melainkan ia memenuhi empat syarat ini. Kegagalan memenuhi mana-mana syarat ini boleh menjadi punca utama mengapa Takaful Hibah boleh dicabar. Berikut adalah syarat-syarat sah Takaful Hibah :
- Pemberi Hibah (Wahib)
- Penerima Hibah (Mawhub Lah)
- Barang yang Dihibahkan (Mawhub)
- Akad / Sighah (Ijab dan Qabul)
Berikut adalah detail syarat-syarat di atas.
Pemberi Hibah (Wahib)
Peserta Takaful atau pemegang polisi itu sendiri mestilah seorang yang waras, cukup umur, dan pemilik sah sijil Takaful tersebut.
Penerima Hibah (Mawhub Lah)
Individu yang dinamakan untuk menerima hibah (penama). Penerima boleh terdiri daripada sesiapa sahaja, termasuk anak angkat, kawan, atau mana-mana pihak yang dikehendaki oleh pemberi, walaupun individu itu bukan dikalangan waris Faraid.
Barang yang Dihibahkan (Mawhub)
Manfaat atau pampasan Takaful Hibah. Aset atau nilai ini mesti wujud, ditentukan dan dimiliki secara sah oleh pemberi hibah.
Akad / Sighah (Ijab dan Qabul)
Ini adalah syarat paling utama.
- Ijab (Tawaran): Merujuk kepada lafaz atau isyarat jelas daripada pemberi yang menunjukkan niatnya untuk memberi. Dalam konteks Takaful, ijab ini dibuktikan melalui Tandangan Borang Deklarasi Hibah Mutlak (Absolute Assignment/Hibah).
- Qabul (Penerimaan): Merujuk kepada penerimaan oleh penerima hibah. Dalam amalan Takaful moden, qabul dianggap telah berlaku secara tersirat apabila pemberi menamakan penerima dan menandatangani borang Takaful Hibah, dan tiada penolakan direkodkan daripada pihak penerima.
Isu Kontroversi: Mengapa Takaful Hibah Boleh Dicabar?
Penting untuk kita ambil tahu dalam isu ini, yang dicabar di mahkamah bukanlah konsep Takaful Hibah itu sendiri. Takaful Hibah sememangnya diiktiraf Syarak. Sebaliknya, yang dipertikaikan adalah kesempurnaan pelaksanaan akad hibah tersebut.
Berikut adalah sebab-sebab utama mengapa Takaful Hibah boleh dipertikaikan:
- Tiada Bukti Ijab yang Jelas (Punca Utama)
- Niat Pemberi Diragui
- Dokumentasi Tidak Lengkap
- Penamaan Boleh Batal (Revocable) vs. Mutlak (Irrevocable)
Berikut adalah detail sebab-sebab di atas.
Tiada Bukti Ijab yang Jelas (Punca Utama)
Ini adalah kesilapan paling lazim. Semasa mengisi Borang Takaful Hibah, akan ada dua jenis penerima hibah. Pertama, Penerima Hibah Mutlak. Kedua, Pemegang Amanah (Wasi). Jika tidak cakna atau beri perhatian, anda mungkin akan meletakkan nama di Pemegang Amanah (Wasi). Pemegang Amahah tugasnya adalah untuk menerima pampasan dan mengagihkannya kepada waris mengikut kaedah Faraid. Dia bukan pemilik mutlak.
Niat Pemberi Diragui
Waris lain boleh membawa kes ke mahkamah dengan mendakwa bahawa pemberi hibah tidak faham sepenuhnya dokumen yang ditandatanganinya, dipaksa, atau berada dalam keadaan tidak waras (marad al-maut – sakit tenat yang membawa kepada kematian) semasa membuat hibah.
Dokumentasi Tidak Lengkap
Borang hibah tidak diisi dengan betul, tiada tandatangan, tiada saksi, atau dokumen asal telah hilang. Kelemahan dalam proses dokumentasi oleh mana-mana pihak boleh membuka ruang untuk cabaran undang-undang.
Penamaan Boleh Batal (Revocable) vs. Mutlak (Irrevocable)
Sesetengah produk mungkin menggunakan borang penamaan boleh batal, yang membenarkan pemberi (pemegang polisi) menukar penama pada bila-bila masa. Walaupun sah, ia lebih lemah berbanding Hibah Mutlak yang bersifat kekal dan memberikan perlindungan undang-undang yang jauh lebih kukuh kepada penerima.
Apakah Solusi Untuk Mengukuhkan Kedudukan Takaful Hibah Anda?
Anda boleh mengambil langkah-langkah pencegahan ini untuk memastikan niat murni anda untuk berhibah tidak bermasalah pada masa hadapan. Seperti :
- Gunakan Borang yang Betul
- Simpan Dokumen dengan Selamat
- Wujudkan Saksi
- Semak Semula Secara Berkala
Berikut adalah detail tentang langkah-langkah di atas.
Gunakan Borang yang Betul
Ini adalah langkah paling penting. Pastikan anda menandatangani Borang Penyerahan Hak Secara Mutlak atau Borang Hibah. Tanya ejen anda secara spesifik, “Adakah ini borang penama hibah mutlak atau pemegang amanah (wasi)?”. Baca dan fahami klausa di dalam borang tersebut.
Simpan Dokumen dengan Selamat
Simpan satu salinan borang hibah yang telah lengkap dan diakui penerimaannya oleh Syarikat Takaful bersama-sama sijil induk anda. Maklumkan kepada penerima hibah atau seseorang yang anda percaya di mana dokumen-dokumen penting ini disimpan.
Wujudkan Saksi
Walaupun borang bertulis sudah menjadi bukti yang kuat, adalah lebih baik jika anda turut melafazkan niat hibah anda kepada penerima di hadapan saksi yang boleh dipercayai. Ini akan mengukuhkan lagi bukti ijab dan qabul Takaful Hibah.
Semak Semula Secara Berkala
Sentiasa melakukan semakan semula status penamaan hibah anda dari masa ke semasa, terutamanya selepas berlakunya peristiwa penting dalam hidup anda seperti perkahwinan, kelahiran anak, atau perceraian, untuk memastikan ia sentiasa selari dengan niat semasa anda.
Kesimpulan
Takaful Hibah dan Faraid bukanlah instrumen yang lekeh dan mudah untuk dipertikai. Takaful Hibah adalah satu bentuk perancangan harta yang anda lakukan semasa hidup untuk memberikan sebahagian aset kepada orang tersayang yang boleh digunakan oleh mereka setelah anda tiada. Manakala Faraid adalah kaedah pembahagian harta yang tidak sempat anda rancang semasa anda hidup.
Isu “Takaful boleh dicabar” boleh berpunca daripada pelaksanaan hibah yang cacat dan tidak sempurna rukunnya, bukan kerana konsep hibah itu sendiri yang tidak sah. Dengan memenuhi rukun dan syarat, terutamanya melalui dokumentasi yang betul dan niat yang jelas, Takaful Hibah kekal sebagai salah satu instrumen perancangan harta pusaka yang paling kukuh, efisien, dan patuh Syariah.
Oleh itu, jika anda memiliki sijil Takaful dan masih keliru, jangan terus membuat andaian. Hubungi ejen atau pengendali Takaful anda hari ini juga. Dapatkan pengesahan status penama polisi Takaful Hibah anda dan pastikan niat anda untuk melindungi insan tersayang melalui hibah direkodkan dengan cara yang betul dan tidak boleh dipertikaikan.
Pendek kata, Takaful Hibah adalah Alat Perancangan yang Sah jika difahami dan dilaksanakan dengan betul.
Mencari Pelan Takaful?
Kami Bantu Anda Untuk Rangka Pelan Takaful Anda