Caruman Takaful adalah bayaran bulanan atau tahunan yang perlu anda buat sepanjang anda melanggan Pelan Takaful. Ramai yang masih keliru bagaimana caruman ini tidak sama bagi setiap orang.
Terdapat beberapa faktor yang digunapakai oleh Syarikat Takaful dalam menentukan kadar caruman. Dengan memahami faktor-faktor ini, ia mampu membantu anda dalam menguruskan seterusnya mengurangkan kos caruman sebelum anda mendaftar Pelan Takaful.
Berikut adalah 10 faktor yang mempengaruhi caruman Takaful anda :
- Umur.
- Jantina.
- Status Merokok.
- Rekod Perubatan Terdahulu.
- Status Kesihatan Semasa.
- Jenis Pekerjaan.
- Aktiviti dan Gaya Hidup Terkini.
- Jenis Pelan Takaful.
- Jumlah Perlindungan Takaful.
- Tempoh Caruman Bagi Pelan Takaful.
Keterangan lanjut setiap faktor adalah seperti di bawah.
Umur
Umur adalah faktor terpenting dalam menentukan caruman Takaful anda. Umur yang muda menjanjikan caruman yang rendah. Semakin tua, semakin mahal caruman. Dan pada satu peringkat umur, anda tidak lagi layak untuk mendaftar Pelan Takaful.
Semestinya caruman seseorang yang umur 25 tahun lebih murah berbanding umur 40. Oleh itu, elakkan bertangguh dalam mengambil atau mendaftar Pelan Takaful.
Jantina
Semua Syarikat Takaful akan menggunakan model statistik berkaitan lelaki dan perempuan bagi menentukan harga caruman takaful.
Wanita, secara puratanya hidup lebih lama dan lebih sukar dijangkiti penyakit berbanding lelaki. Oleh itu, secara munasabahnya caruman wanita lebih murah berbanding lelaki.
Status Merokok
Merokok adalah penyebab utama yang menyebabkan caruman menjadi terlalu tinggi. Mengikut statistik, perokok lebih mudah mengalami masalah kesihatan kronik seperti kanser, penyakit jantung, strok, penyakit berkaitan pernafasan seperti paru-paru berair dan sebagainya.
Perokok juga perlu membayar kadar caruman yang lebih tinggi sehingga ada Syarikat Takaful yang menaikkannya sehingga 200%.
Status perokok tidak mudah dimanipuasi (ditipu). Kerana jika perokok menipu dengan menyatakan mereka tidak merokok semasa mendaftar, apabila perokok pergi mendapatkan rawatan di hospital, kebiasaannya laporan kesihatan dari doktor akan mencatatkan sama ada penyakit berkenaan adalah akibat merokok atau bekas perokok. Ini bakal menyebabkan tuntutan (claim) anda tidak diluluskan.
Penghisap Vape juga kini termasuk di dalam kategori Perokok.
Rekod Perubatan Terdahulu
Pihak Syarikat Takaful mempunyai kuasa meneliti, menyemak dan membongkar rekod kesihatan seseorang di semua Hospital. Jika anda pernah mendapatkan rawatan di hospital, semua rekod itu akan dinilai sebelum pendaftaran permohonan Takaful anda diluluskan.
Antara rekod yang akan memberi impak besar terhadap status pendaftaran Takaful anda adalah :
- Penyakit Berkaitan Tulang (Tulang Belakang atau Tulang-Tulang lain).
- Penyakit Berkaitan Organ (Limpa, Usus, Otak, Kanser).
- Penyakit Berkaitan Jantung (Tekanan Darah Tinggi).
- Penyakit Berkaitan Darah (HIV/AIDS).
- Tahap Obesiti.
- Kolesterol Tinggi.
- Kencing Manis (Tahap Diabetes).
- Penyakit Berkaitan Paru-Paru.
Jika salah satu rekod ini ada. Kemungkinan :
- Permohonan Pendaftaran tidak diluluskan. atau
- Caruman Bulanan atau Tahunan akan dinaikkan.
Oleh sebab yang demikian, daftar sementara anda sedang sihat.
Status Kesihatan Semasa
Pihak pengunderaitan (underwriter) Syarikat Takaful akan meneliti BMI semasa dahulu. BMI dikira berdasarkan Tinggi dan Berat seseorang. Ia bagi menggambarkan keadaan seseorang sama ada mereka :
- Normal. atau
- Kurang Berat Badan (underweight). atau
- Berat Badan Berlebihan (overweight). atau
- Obesiti.
Sekiranya BMI anda tidak berada di paras Normal, kemungkinan anda akan diminta untuk menjalani Pemeriksaan Perubatan (medical check-up) sebelum pihak syarikat meluluskan permohonan pendaftaran pelan Takaful.
Daripada Laporan Pemeriksaan Perubatan, pihak Syarikat Takaful boleh mengetahui sama ada anda sihat atau tidak. Antara laporan yang akan disahkan termasuklah :
- Bacaan Tekanan Darah
- Tahap Kolestrol
- Status Kencing (diabetes)
- Dan lain-lain
Jika Laporan Pemeriksaan Perubatan menunjukkan anda tidak sihat. Kemungkinan :
- Permohonan Pendaftaran tidak diluluskan. atau
- Caruman Bulanan atau Tahunan akan dinaikkan.
Jenis Pekerjaan
Jenis Pekerjaan adalah faktor yang kerap menjadi kontroversi dalam menentukan tinggi rendah Caruman Takaful. Ia sebenarnya berkait dengan risiko-risiko yang mungkin menyebabkan seseorang itu lebih mudah terkena musibah.
Contohnya. Seorang yang bekerja di kuari Mungkin lebih mudah terkena Kemalangan atau penyakit berkaitan Paru-Paru (pernafasan), berbanding dengan seseorang yang bekerja sebagai seorang Guru. Maka, semestinya Caruman Takaful bagi pekerja di kuari adalah lebih tinggi dari Guru.
Soal siapa yang akan mati dahulu kita tidak tahu. Yang penting, setiap dari kita perlu ada Pelan Takaful atas satu alasan, iaitu sebagai satu medium Perlindungan Kewangan untuk Keluarga.
Aktiviti dan Gaya Hidup Terkini
Faktor ini kurang diberi perhatian. Mungkin anda seorang yang hanya bekerja di pejabat. Sepertinya anda tidak berisiko besar menerima penyakit dan musibah. Akan tetapi, aktiviti luaran yang kerap seperti mendaki gunung, menyelam di laut, beraktiviti lasak, berlumba motorsikal di trek, melancong juga boleh menyebabkan anda terdedah kepada risiko kemalangan dan lain-lain musibah.
Oleh itu, Pihak Syarikat Takaful juga akan meneliti aspek ini. Jika ianya terlalu kerap, caruman anda akan dinaikkan dari harga yang biasa.
Jenis Pelan Takaful
Terlalu banyak jenis pelan Takaful yang ditawarkan oleh Syarikat Takaful. Antaranya :
- Pelan Hibah
- Pelan Medical Card Hospital
- Pelan Penyakit Kritikal
- Pelan Perlindungan Kanser
- Dan banyak lagi pelan-pelan perlindungan lain.
Setiap pelan mempunyai pengiraan Takaful yang berbeza. Semakin besar kemungkinan risiko yang bakal dialami dan semakin lama atau panjang tempoh perlindungan, semakin tinggilah carumannya.
Jumlah Perlindungan Takaful
Setelah anda memilih Jenis Pelan Takaful, anda perlu memilih berapa Jumlah Perlindungan (Pampasan) yang anda perlukan. Semakin tinggi Jumlah Perlindungan, semakin tinggilah caruman yang perlu anda buat.
Tempoh Caruman Bagi Pelan Takaful
Kebiasaannya, Tempoh Caruman sesebuah polisi Takaful adalah sama dengan Tempoh Perlindungan. Cuma sebahagian Pelan Takaful mempunyai fungsi Pilihan Tempoh Caruman.
Contohnya, ada Pelan Hibah yang Tempoh Perlindungannya sehingga umur 70. Tetapi caruman tidak semestinya sehingga umur 70. Terdapat pilihan seperti caruman hanya perlu dibayar 6 tahun atau 10 tahun atau 20 tahun.
Semakin pendek Tempoh Caruman semakin tinggilah bayaran yang anda perlu lakukan setiap bulan atau tahun.
Kesimpulannya, ambillah Takaful dengan penuh kesedaran. Mungkin faktor-faktor di atas berada di luar kawalan anda. Namun dengan memahami faktor-faktor ini juga anda mampu mengatur belanjawan dan kewangan anda demi keluarga tersayang. Yang penting, sediakan Takaful sementara anda masih layak memilikinya.
Mencari Pelan Takaful?
Kami Bantu Anda Untuk Rangka Pelan Takaful Anda