Ramai di kalangan anda yang nak tahu tentang Takaful. Tetapi, tidak tahu bagaimana atau apakah soalan yang perlu ditanya kepada Ejen Takaful (Agent) demi memastikan Pelan Takaful yang dimiliki betul-betul sesuai dengan keperluan anda.
Pada artikel ini, kami senaraikan beberapa soalan penting untuk ditanya kepada Ejen Takaful sebelum anda mendaftar apa-apa Pelan Takaful. Di antara soalan-soalan penting itu adalah :
- Apakah Jenis Perlindungan Takaful yang saya perlukan?
- Berapa Jumlah Perlindungan yang saya perlukan?
- Apakah Faedah dan Manfaat yang ditawarkan dalam pelan ini selain Perlindungan Kematian?
- Adakah Caruman akan meningkat apabila usia saya meningkat?
- Bolehkah saya Menambah Baik pelan perlindungan saya pada masa hadapan?
- Apakah Perkara yang tidak dilindungi dalam pelan ini?
- Apakah Dokumen-Dokumen yang saya perlu ada untuk memohon pelan ini?
- Adakah perlu buat Medical Check-up? Jika Ya, Apakah prosedurnya?
- Berapa lama saya perlu menunggu (Tempoh Menunggu) sebelum perlindungan bermula?
- Apakah Kaedah Pembayaran yang terbaik supaya saya tidak lupa untuk membayar caruman saya?
- Bagaimanakah untuk saya pastikan Keluarga saya atau Penama dijaga dengan baik?
Untuk keterangan lebih terperinci berkenaan soalan-soalan tersebut boleh dirujuk di bahagian bawah.
1. Apakah Jenis Perlindungan Takaful yang saya perlukan?
Ini adalah soalan paling utama yang perlu ditanya kepada ejen takaful. Ejen takaful yang profesional akan membuat kaji selidik tentang keperluan semasa anda. Antara perkara yang akan dinilai adalah :
- Umur.
- Status perkahwinan.
- Latar belakang keluarga.
- Pekerjaan.
- Status kesihatan.
- Gaya hidup semasa.
- Dan lain-lain perkara.
Dari kaji selidik ini, ejen akan memberitahu anda apakah pelan takaful yang paling sesuai untuk diberi keutamaan dan apakah pelan yang boleh dikemudiankan.
Tidak semestinya Pelan Hibah lebih utama dari Pelan Medical Card atau sebaliknya. Ia bergantung kepada tahap penilaian ejen yang profesional melalui kaji selidik yang telah dibuat.
2. Berapa Jumlah Perlindungan yang saya perlukan?
Setelah anda tahu apakah pelan takaful yang sesuai, kini masanya untuk anda tahu tentang gambaran jelas apakah manfaat asas pelan yang ditawarkan. Ejen akan memberitahu berapakah jumlah perlindungan untuk pelan takaful tersebut.
Anda juga berhak tanya, kenapa jumlah itu yang ditawarkan. Adakah ia benar-benar sesuai dengan keperluan. Elakkan dari perlindungan yang terlalu rendah (under-insured) dan perlindungan yang terlalu tinggi (over-insured). Ia mestilah sesuai dengan tahap keperluan anda.
3. Apakah Faedah dan Manfaat yang ditawarkan dalam pelan ini selain Perlindungan Kematian?
Ramai yang terlepas pandang tentang manfaat tambahan yang dilampirkan di dalam pelan takaful mereka. Ramai juga yang tidak ambil tahu.
Setiap pelan takaful ada manfaat tambahan atau dikenali sebagai Rider. Rider ini adakalanya perlukan tambahan caruman. Ada juga yang diberi secara percuma. Sama ada ia wujud atau tidak, anda berhak untuk tanya apakah relevannya setiap rider yang dilampirkan.
Jika ianya perlu, boleh ambil. Jika tidak perlu, boleh katakan tidak perlu atau boleh dikemudiankan.
4. Adakah Caruman akan meningkat apabila usia saya meningkat?
Anda juga harus pastikan perkara ini. Tidak semua orang suka untuk pelan yang ada peningkatan harga secara berkala mengikut umur. Namun, ada juga yang boleh terima jika berlakunya kenaikan harga.
Untuk pengetahuan anda, pelan yang mempunyai kenaikan atau peningkatan harga kebiasaannya menawarkan caruman yang lebih rendah.
5. Bolehkah saya Menambah Baik pelan perlindungan saya pada masa hadapan?
Setiap orang akan mengalami perubahan dalam kehidupan. Belum berkahwin, akan berkahwin. Yang berkahwin, akan ada anak. Yang ada anak, akan tambah anak.
Pelan takaful juga perlu ada perubahan ke arah lebih baik. Persoalannya, adakah tambah baik ini boleh dilakukan untuk pelan tersebut atau tidak. Ada pelan yang dibenarkan untuk diubah suai, ada juga yang telah tetap dan tidak boleh diubah suai.
6. Apakah Perkara yang tidak dilindungi dalam pelan ini?
Tidak semua perkara atau musibah boleh dilindungi dalam satu pelan. Setiap pelan ada syarat-syarat tuntutan yang telah ditetapkan oleh syarikat takaful.
Sebagai contoh, Pelan Medical Card tidak melindungi penyakit-penyakit berkaitan kehamilan. Atau, sebahagian Pelan Takaful Hibah tidak melindungi kematian akibat rusuhan atau jenayah. Anda perlu dapat detail yang jelas dari ejen.
7. Apakah Dokumen-Dokumen yang saya perlu ada untuk memohon pelan ini?
Setiap syarikat takaful mempunyai klaus dan prosedur yang tersendiri. Ada syarikat yang perlukan lebih dari detail-detail peribadi asas.
Tidak cukup sekadar kad kengenalan, ada juga yang akan minta laporan kesihatan (perubatan) semasa dan lain-lain dokumen.
8. Adakah perlu buat Medical Check-up? Jika Ya, Apakah prosedurnya?
Sesetengah pelan takaful akan meminta anda untuk buat Medical Check-up sebelum polisi anda diaktifkan. Jika ia diperlukan, anda perlu tahu prosedurnya bagaimana dan berapa lama tempoh untuk selesaikan semuanya.
Perlu tahu juga, adakah bayaran Medical Check-up ditanggung oleh syarikat atau perlu ditanggung oleh anda sendiri.
9. Berapa lama saya perlu menunggu (Tempoh Menunggu) sebelum perlindungan bermula?
Setiap pelan berbeza Tempoh Menunggu. Ada yang 24 jam, ada yang 90 hari, ada yang 120 hari, dan ada juga sehingga 2 tahun.
Untuk Pelan Medical Card, tempoh menunggunya lebih lama dari pelan-pelan yang lain. Dapatkan detail dan kepastian dari ejen.
10. Apakah Kaedah Pembayaran yang terbaik supaya saya tidak lupa untuk membayar caruman saya?
Soalan ini perlu ditanya bagi mengelakkan masalah rekod pembayaran yang tidak konsisten. Pembayaran yang tertunggak atau terlewat bayar (overdue) boleh menyebabkan tuntutan anda mungkin mengalami masalah dikemudian hari.
Elakkan membayar secara tunai. Kami sarankan buat sistem secara Auto-Debit. Ia lebih mudah untuk dipantau oleh anda dan syarikat takaful.
11. Bagaimanakah untuk saya pastikan Keluarga saya atau Penama dijaga dengan baik?
Hampir semua pelan takaful terutamannya Pelan Takaful Hibah akan ada penama. Penama adalah orang yang akan terima pampasan sekiranya musibah berlaku kepada anda.
Penama mestilah tahu dan sedar bahawa dia adalah orang yang akan menerima pampasan tersebut. Dan, penama juga boleh diubah pada bila-bila masa tertakhluk kepada keputusan anda sebagai pemegang polisi.
Kesimpulannya, jangan malu atau segan untuk bertanya sebarang soalan berkenaan takaful kepada ejen. Anda perlu tahu detail A sampai Z untuk memastikan pelan takaful anda betul-betul bermanfaat untuk anda dan bermanfaat juga untuk keluarga yang anda sayangi.
Ejen yang profesional, baik, jujur dan amanah akan membantu anda sebaik mungkin dan akan menjawab semua soalan anda walaupun soalan itu tidak masuk akal untuk ditanya.
Mencari Pelan Takaful?
Kami Bantu Anda Untuk Rangka Pelan Takaful Anda