“Maaf, saya tengah sibuk.” “Nanti saya fikirkan.” “Oh, penasihat insurans lagi…” “Saya tidak minat.” “Saya tengah meeting. Call esok.”

Mengapa Anda Perlu Ada Ejen Takaful (Penasihat dan Perunding)?

Ini adalah antara reaksi biasa apabila kita terima panggilan atau whatsapp daripada seseorang yang memperkenalkan diri sebagai “Ejen Takaful” atau “Perunding Takaful” atau “Penasihat Takaful”. Secara jujurnya, ramai di antara kita mempunyai persepsi negatif atau sekurang-kurangnya skeptikal terhadap kerjaya ini. Stigma yang melekat di minda masyarakat seringkali menggambar mereka sebagai ‘salesman’ yang hanya mengejar komisen, mendesak untuk menjual produk tanpa benar-benar memahami keperluan pelanggan.

Tetapi, bagaimana jika kita cuba melihat dari sudut pandang yang berbeza? Bayangkan seorang perunding atau Ejen Takaful yang profesional dianggap sama seperti seorang doktor kewangan peribadi. Seorang doktor yang baik tidak akan terus memberikan ubat sejurus anda masuk ke kliniknya. Sebaliknya, dia akan bertanya tentang simptom, memeriksa tekanan darah, dan melakukan diagnosis terperinci terlebih dahulu sebelum meneruskan rawatan.

Begitu jugalah dengan Ejen Takaful yang beretika. Mereka bukan sekadar penjual polisi. Mereka adalah penganalisis, penasihat, pemudah cara, dan rakan kongsi untuk jangka panjang dalam perjalanan kewangan anda.

Apakah Peranan Penasihat atau Perunding Takaful?

Artikel ini akan mendedahkan empat peranan utama seorang Perunding Takaful Profesional yang membuktikan nilai mereka jauh melebihi apa yang kita sangkakan:

  1. Sebagai Arkitek Kewangan Peribadi yang Menganalisis Keperluan Anda.
  2. Sebagai Penunjuk Arah Produk yang Mencadangkan Pelan Terbaik.
  3. Sebagai Pemudah Cara Tuntutan yang juga Rakan Anda di Waktu Sukar.
  4. Sebagai Penasihat Kewangan Berterusan yang juga Rakan Kongsi Jangka Panjang.

Detail peranan-peranan adalah seperti di bawah.

Sebagai Arkitek Kewangan Peribadi yang Menganalisis Keperluan Anda

Sesi pertama dengan seorang Ejen atau Perunding Takaful yang baik bukanlah bermula dengan sesi jualan. Ia mestilah bermula dengan sesi “suai kenal” dalam bab kewangan. Mereka tidak datang dengan niat untuk terus menjual, tetapi untuk menyoal dan mendengar. Proses ini dikenali sebagai Analisis Keperluan Kewangan (FNA – Financial Needs Analysis).

Perunding akan membantu anda meneroka, meneliti dan mengetahui landskap kewangan anda sendiri secara terperinci melalui:

  • Menggali Matlamat Kewangan: Apa sebenarnya yang anda ingin capai dalam bab kewangan? Adakah untuk memastikan tabung pendidikan anak-anak terjamin? Ingin bersara dengan selesa? Melindungi pendapatan anda dan keluarga jika anda jatuh sakit? Atau merancang pengurusan harta pusaka?
  • Menilai Komitmen dan Aliran Tunai: Berapakah jumlah komitmen bulanan anda? Ini termasuk pinjaman perumahan, ansuran kereta, perbelanjaan sara hidup, dan bil-bil lain. Berapa banyak lebihan pendapatan yang anda ada setiap bulan?
  • Memahami Status Semasa: Apakah perlindungan sedia ada yang sudah anda miliki, contohnya takaful atau insurans dari majikan (Takaful untuk Staf)? Berapakah jumlah simpanan dan hutang semasa anda?

Hasil daripada analisa ini, perunding akan dapat membentangkan satu “laporan audit kewangan peribadi” yang jelas. Laporan ini akan menunjukkan di mana wujudnya jurang perlindungan (protection gap), iaitu perbezaan ketara antara apa yang anda miliki sekarang (keadaan kewangan semasa), dan, apa yang anda perlu wujudkan untuk mencapai matlamat anda (cadangan untuk tambah baik). Di sinilah perbincangan mengenai solusi bermula, bukan sebelumnya.

Sebagai Penunjuk Arah Produk yang Mencadangkan Pelan Terbaik

Dunia Takaful dan Kewangan boleh dianggap sebuah hutan belantara yang penuh dengan ratusan jenis produk, rider, istilah teknikal, dan klausa yang sukar difahami. Mencuba untuk memahaminya seorang diri bukan sahaja memeningkan, malah amat berisiko. Anda mungkin terbeli pelan yang salah atau pelan yang tidak memenuhi keperluan.

Di sinilah perunding bertindak sebagai “penunjuk arah” atau pembantu peribadi anda. Tugas mereka adalah untuk:

  • Memadankan Produk dengan Keperluan: Berdasarkan jurang perlindungan yang dikenal pasti dari hasil analisa FNA, mereka akan menapis dan mencadangkan produk yang paling relevan. Jika jurang terbesar anda adalah perlindungan pendapatan, mereka akan fokus kepada pelan Penyakit Kritikal, Hibah atau Medical Card. Jika matlamat anda adalah simpanan, mereka akan mencadangkan pelan yang mempunyai elemen pelaburan.
  • Menterjemah Bahasa Kompleks: Mereka akan menerangkan istilah-istilah seperti ko-Takaful, deduktibel, had tahunan, tempoh menunggu (waiting period), tempoh matang (maturity period) dan senarai pengecualian (exclusions) dalam bahasa yang mudah anda fahami. Ini bagi memastikan tiada kekeliruan yang tidak diingini pada masa hadapan.
  • Menyesuaikan dengan Bajet: Seorang perunding yang baik faham bahawa setiap Pelan Takaful terbaik mestilah pelan yang mampu anda bayar secara konsisten. Mereka akan membantu anda merangka pelan yang memberikan manfaat yang maksimum mengikut kemampuan bajet anda, bukan menjual pelan paling mahal dan bukan juga menjual pelan paling murah.

Sebagai Pemudah Cara Tuntutan yang juga Rakan Anda di Waktu Sukar

Inilah “saat terpenting” di mana tugas sebenar seorang perunding Takaful paling terserlah. Apabila musibah seperti kematian, kemalangan atau penyakit serius berlaku, perkara terakhir yang anda atau ahli keluarga anda mahu fikirkan ialah mengisi borang atau menguruskan tuntutan yang sudah tentu rumit jika diuruskan sendiri.

Pada waktu genting inilah perunding anda beralih peranan menjadi talian hayat anda. Mereka akan:

  • Memberi Panduan Langkah demi Langkah: Menjelaskan dengan tenang dokumen apa yang diperlukan, seperti laporan perubatan, laporan polis, atau sijil kematian.
  • Membantu Urusan Tuntutan (claim): Membantu anda mengisi borang tuntutan dengan betul dan lengkap bagi mengelakkan sebarang kelewatan atau risiko tuntutan ditolak kerana kesilapan teknikal.
  • Menjadi Orang Tengah: Berhubung terus dengan bahagian pengunderaitan (underwriter) di syarikat Takaful bagi pihak anda. Mereka akan membuat susulan (follow-up) dan memastikan proses berjalan sepantas dan selancar yang mungkin.
  • Memberi Sokongan Emosi: Kadangkala, apa yang lebih penting adalah kehadiran seseorang yang boleh memberikan sokongan moral dan ketenangan fikiran, menyokong anda dan keluarga untuk fokus sepenuhnya pada proses pemulihan dari musibah yang telah berlaku.

Sebagai Penasihat Kewangan Berterusan yang juga Rakan Kongsi Jangka Panjang

Tugas seorang perunding Takaful yang profesional tidak tamat selepas sijil Takaful anda diluluskan dan komisen dibayar. Sebaliknya, hubungan kerjasama antara anda dan perunding Takaful itu sepatutnya baru bermula.

Kehidupan kita sentiasa dinamik. Kita berkahwin, mendapat cahaya mata, membeli rumah baru, bertukar kerja, atau dinaikkan pangkat atau mungkin akan memiliki masalah kewangan dan kembali pulih dari masalah. Setiap perubahan ini memberi kesan kepada keperluan kewangan semasa kita. Perunding yang berdedikasi akan:

  • Melakukan Semakan Polisi Secara Berkala: Mereka akan membuat jadual tahunan untuk duduk bersama anda, menyemak semula polisi sedia ada, dan menilai sama ada ia masih relevan dengan situasi terkini atau perlu ditambah baik jika perlu. Mungkin anda perlu menambah jumlah perlindungan atau menamakan penerima hibah yang baru.
  • Memberi Nasihat Kewangan Holistik: Mereka bukan sahaja bercakap tentang produk, tetapi juga memberi nasihat tentang kepentingan merancang harta pusaka melalui Hibah Takaful, bagaimana ia berbeza daripada Faraid, dan membantu anda membuat keputusan yang tepat.
  • Menyediakan Maklumat Terkini: Memberitahu anda sekiranya terdapat produk atau pelan atau manfaat baru di pasaran yang mungkin lebih baik dan sesuai untuk anda.

Kesimpulan

Jelas sekali, peranan seorang Perunding atau Ejen Takaful yang Profesional jauh lebih luas daripada sekadar menjual polisi. Mereka adalah penganalisis keperluan, penasihat produk, pemudah cara tuntutan, dan rakan kongsi kewangan untuk jangka panjang anda.

Oleh itu, apabila anda ingin mendapatkan perlindungan Takaful, jangan lihat ia sebagai satu urusan jual beli semata-mata. Lihatlah ia sebagai satu proses membina hubungan profesional dengan seorang pakar yang akan berjalan bersama anda. Carilah seorang perunding yang berlesen, berpengetahuan, lebih banyak mendengar daripada bercakap, tidak memaksa, dan jelas komited untuk memberikan perkhidmatan selepas proses jualan berlangsung.

Kerana pada akhirnya, keputusan kewangan yang anda buat bersamanya hari ini akan memberi impak besar kepada kualiti hidup anda dan ketenangan fikiran keluarga anda untuk bertahun-tahun yang akan datang.

Pilih Perunding yang Tepat, Bukan Sekadar Terpesona dengan Keindahan Bahasa Brosur Takaful.

Kongsikan Artikel Ini

Mencari Pelan Takaful?

Kami Bantu Anda Untuk Rangka Pelan Takaful Anda