“Saya nak perlindungan Takaful untuk keluarga, tapi pada masa yang sama, saya nak wang yang saya bayar itu beranak dan tak hangus. Boleh tak saya dapatkan kedua-duanya sekali?”

Apakah Anda Perlukan Takaful Berkaitan Pelaburan (ILP)?

Ini adalah persoalan lazim yang bermain di fikiran ramai orang apabila merancang kewangan mereka. Secara logiknya, ia adalah satu kehendak yang bijak. Kehendak inilah menyebabkan wujudnya produk Takaful Berkaitan Pelaburan, juga ada yang memanggilnya Takaful Pelaburan-Berkaitan, atau lebih dikenali sebagai Investment-Linked Plan (ILP). Ia adalah sebuah produk hibrid yang menggabungkan elemen perlindungan (seperti manfaat kematian, penyakit kritikal, dan kad perubatan) dengan elemen pelaburan dalam satu sijil tunggal.

Disebabkan sifat “2 dalam 1” ini, ILP telah menjadi salah satu produk Takaful paling popular di Malaysia. Namun, ia juga merupakan produk yang paling selalu disalahfahami. Ramai yang tertarik dengan potensi pulangan tanpa menyedari sepenuhnya berkenaan risiko, kos, dan mekanisme sebenar yang ada dalam produk ini. Ia juga seringkali membawa kepada jangkaan yang tidak realistik dan kekecewaan pada masa hadapan.

Artikel ini akan membongkar apa itu ILP dan mengupas setiap komponennya dari segi konsep, kebaikan, keburukan, serta kos-kos yang terlibat, supaya anda boleh menilai sendiri dengan jelas sama ada ia benar-benar pilihan yang tepat untuk anda atau tidak.

Memahami Mekanisme ILP Untuk Mengetahui Ke Mana Sebenar Perginya Wang Anda?

Apabila anda membayar sumbangan (atau caruman) untuk ILP, wang anda tidak dimasukkan ke dalam satu tabung tunggal. Sebaliknya, ia diagihkan kepada dua tabung utama:

  1. Tabung Perlindungan (Tabarru’): Sebahagian daripada sumbangan anda akan ditolak dan dimasukkan ke dalam Dana Risiko Bersama yang dipanggil Tabarru’. Dana inilah yang digunakan untuk membayar pampasan jika berlaku tuntutan seperti kematian atau kemasukan ke hospital, di kalangan semua peserta. Penting untuk diketahui, kos Tabarru’ ini akan meningkat secara semula jadi dan berkala seiring dengan peningkatan usia anda, kerana risiko kesihatan anda juga meningkat. Dalam erti kata lain, semakin berusia semakin anda terdedah dengan risiko berpenyakit.
  2. Tabung Pelaburan: Bahagian sumbangan yang selebihnya, selepas ditolak pelbagai caj, akan digunakan untuk membeli unit-unit dalam Dana Pelaburan Patuh Syariah pilihan anda. Anda boleh memilih dana berdasarkan pilihan risiko anda sendiri, contohnya Dana Ekuiti (risiko tinggi, potensi pulangan tinggi) atau Dana Sukuk/Bon (risiko rendah, potensi pulangan lebih stabil).

Nilai tunai (cash value) di dalam sijil ILP anda datangnya dari prestasi Tabung Pelaburan ini. Nilai ini tidak dijamin dan akan sentiasa naik dan turun mengikut prestasi pasaran dan prestasi dana.

Apakah Kelebihan ILP?

Tidak dinafikan, ILP menawarkan beberapa kelebihan yang menarik, Antaranya:

1. ILP Menawarkan Fleksibiliti

Anda hanya perlu membuat satu bayaran untuk mendapatkan kedua-dua perlindungan dan pelaburan. Ia juga fleksibel. Anda boleh membuat pengeluaran sebahagian (partial withdrawal) daripada nilai tunai jika berlaku kecemasan dan memerlukan dana segera, atau menukar dana pelaburan jika anda merasakan ada dana lebih sesuai mengikut kehendak semasa.

2. ILP Berpotensi Beri Pulangan Lebih Tinggi

Berbanding pelan Takaful Endowmen (endowment) yang memberikan pulangan yang dijamin tetapi rendah, nilai tunai dalam ILP berpotensi untuk berkembang dengan lebih laju, jika dana pelaburan yang anda pilih mencatatkan prestasi yang sangat cemerlang. Ini boleh membantu nilai dana anda menandingi kadar inflasi dalam jangka masa panjang.

3. Penyata Tahunan ILP yang Lebih Telus

Anda akan menerima penyata tahunan yang memperincikan jumlah unit pelaburan yang anda sedang miliki, nilai semasanya, dan pecahan caj yuran serta kos yang telah ditolak daripada sumbangan (camuran) anda.

Apakah Kekurangan ILP?

Sebelum menandatangani borang Takaful ILP, anda wajib memahami bahagian yang kurang menarik tentang ILP. Antaranya:

1. Risiko Untung Rugi Pelaburan Ditanggung Sepenuhnya oleh Anda

Faktanya, Syarikat Takaful tidak menjamin pulangan pelaburan anda. Jika dana yang anda pilih mengalami kerugian, maka nilai tunai anda juga akan menyusut. Ilustrasi pulangan 5% atau 12% yang sering ditunjukkan oleh ejen adalah anggaran semata, bukan satu janji.

2. Yuran dan Caj ILP yang Tinggi

ILP datang dengan beberapa lapisan yuran atau caj yang dikenakan daripada jumlah sumbangan (caruman) anda, terutamanya pada tahun-tahun awal sijil. Antara caj utama ialah:

  • Caj Wakalah: Ini adalah caj untuk pengurusan beserta komisen ejen. Ia selalunya sangat tinggi untuk 5-6 tahun yang pertama.
  • Yuran Pengurusan Dana (Fund Management Fees): Caj tahunan yang biasanya 1 hingga 1.5%, yang dikenakan untuk menguruskan dana pelaburan anda.
  • Caj Tabarru’ (Kos Perlindungan): Seperti yang dijelaskan, kos ini meningkat setiap tahun.

3. Risiko Sijil Terbatal atau Luput (Lapse) Walaupun Bayaran dibuat secara Konsisten

Ini adalah risiko terbesar yang ramai tidak sedar. Bayangkan senario ini, prestasi dana pelaburan anda merosot, manakala kos Tabarru’ anda pula semakin meningkat setiap tahun. Lama-kelamaan, nilai tunai dalam poket pelaburan anda akan habis digunakan oleh kos perlindungan. Apabila ini berlaku, anda mungkin perlu menambah bayaran sumbangan atau caruman, top-up dengan jumlah yang lebih tinggi untuk memastikan sijil anda tidak luput dan perlindungan tidak terhenti. Dalam istilah lain ia disebut sebagai re-pricing.

Re-pricing sering muncul dalam Takaful ILP apabila salah satu elemen dalamnya terdapat Kad Perubatan (Medical Card). Maka, hati-hati apabila Ejen atau Perunding Takaful mengatakan “Pelan ini tidak akan naik harga”.

Siapakah yang Sebenarnya Sesuai untuk ILP?

Berdasarkan ciri-ciri di atas :

ILP Sesuai Untuk:

  1. Pelabur Jangka Masa Panjang: Individu yang faham bahawa Takaful ini adalah komitmen untuk 15 tahun atau lebih dan bersedia dari segi mental untuk mengharungi turun naik harga pasaran tanpa panik.
  2. Individu yang Tiada Masa untuk Menilai Soal Takaful: Profesional yang sibuk dan lebih suka menghimpunkan Perlindungan serta Pelaburan di bawah satu pelan.
  3. Mereka yang Berdisiplin: Individu yang akan membayar sumbangan secara konsisten tanpa gagal. Dan, tidak kisah jika berlaku kenaikan.

ILP Kurang Sesuai Untuk:

  1. Individu yang Kurang Gemar tentang Risiko: Jika anda tidak selesa melihat nilai tunai anda berkurangan, maka pelan Takaful Tradisional yang menawarkan pulangan terjamin mungkin lebih sesuai.
  2. Mereka yang Mahukan Perlindungan Maksimum dengan Kos Minimum: Jika matlamat utama anda hanyalah perlindungan, membeli atau mendaftar pelan Takaful Traditional atau dikenali sebagai Takaful Standalone adalah lebih baik. Murah dan kosnya efektif.
  3. Pelabur yang Mahir: Jika anda seorang pelabur yang gemar menguruskan portfolio sendiri, dan merasakan yuran ILP terlalu tinggi, anda mungkin lebih baik mengamalkan strategi “Buy Term, Invest the Rest” (BTIR). Iaitu membeli Takaful Perlindungan Tradisional (Standalone) yang murah, dan melaburkan lebihan wang itu sendiri secara terus ke dalam instrumen seperti unit amanah atau saham. Dalam erti kata lain, anda mempunyai satu polisi Takaful dan satu polisi Pelaburan.

Kesimpulan

ILP bukanlah produk yang “baik” atau “buruk” secara mutlak. Ia adalah sejenis alat kewangan. Seperti mana-mana alat yang lain, ia boleh menjadi sangat berguna jika digunakan oleh orang yang betul untuk tujuan yang betul dengan cara yang betul. Sebaliknya, ia boleh menjadi satu beban jika ia tidak sepadan dengan keperluan dan kefahaman anda.

Sebelum membuat sebarang komitmen, ambil langkah-langkah seperti, luangkan masa untuk faham sepenuhnya bagaimana ILP berfungsi. Tanyakan kepada Ejen dan Perunding Takaful anda soalan-soalan spesifik seperti, “Berapakah semua yuran yang perlu dibayar?”, “Tunjukkan kepada saya bagaimana kos perlindungan (Tabarru’) meningkat setiap 5 tahun”, dan “Apakah senario terburuk atau kesan jika unit pasaran saham jatuh?”. Dan, fahami dulu matlamat kewangan jangka masa panjang anda dan tahap toleransi risiko anda.

Pada akhirnya, keputusan terletak di tangan anda. Buatlah Takaful berdasarkan ilmu dan pemahaman yang jelas, bukan sekadar seronok mendengar janji pulangan yang tak masuk akal.

Kongsikan Artikel Ini

Mencari Pelan Takaful?

Kami Bantu Anda Untuk Rangka Pelan Takaful Anda