Isi Kandungan

Pernah tak anda rasa situasi macam ni? Gaji baru saja masuk semalam, tapi bila tengok baki akaun hari ini, rasa macam nak menangis. Duit tu “lalu” sahaja—bayar hutang sana, bayar bil sini, dan akhirnya tinggal cukup-cukup makan (atau kurang!) sampai hujung bulan.

Bajet 50/30/20: Urus Gaji Tanpa Stress

Kalau anda mengangguk, jangan risau, anda tak keseorangan. Ramai antara kita yang bergelut nak uruskan duit gaji, bukan sebab tak cukup, tapi sebab tak ada sistem yang jelas.

Di sinilah Peraturan Bajet 50/30/20 memainkan peranan. Teknik ini dipopularkan oleh Senator Elizabeth Warren dan ia terkenal sebab satu benda: Ia Simple. Tak perlu fail Excel yang rumit atau jadi pakar matematik. Jom kita tengok macam mana formula ini boleh ubah hidup kewangan anda menjadi lebih tenang.

Langkah Pertama: Gaji Bersih, Bukan Gaji Kasar

Sebelum kita mula membahagikan duit atau buat bajet, ada satu perkara penting kena betulkan. Ramai orang buat silap dengan mengira bajet berdasarkan Gaji Kasar (angka dalam surat tawaran kerja).

Salah tu!

Anda mesti guna Gaji Bersih. Ini adalah jumlah duit yang betul-betul masuk ke dalam akaun bank anda selepas ditolak:

  • KWSP (EPF)
  • PERKESO (SOCSO)
  • Sistem Insurans Pekerjaan (EIS)
  • Potongan Cukai Berjadual (PCB)

Duit bersih inilah “peluru” sebenar yang anda ada untuk berperang setiap bulan.

1. 50% untuk Keperluan (Needs) – “Wajib Ada”

Separuh daripada gaji bersih anda, iaitu 50%, sepatutnya diperuntukkan untuk perkara-perkara asas yang membolehkan anda meneruskan hidup dan bekerja. Ini adalah benda-benda yang kalau tak bayar, hidup jadi susah atau kena halau.

Apa yang masuk dalam kategori ini?

  • Tempat Tinggal: Bayaran ansuran rumah atau sewa.
  • Utiliti: Bil elektrik, air, dan internet (zaman sekarang internet dikira keperluan asas untuk kerja/komunikasi).
  • Makan Minum: Barang dapur untuk masak di rumah (bukan makan di restoran mewah hari-hari).
  • Pengangkutan: Ansuran kereta, minyak, tol, atau tambang tren/bas untuk pergi kerja.
  • Kewajipan Agama: Jangan lupa, Zakat Pendapatan jatuh dalam kategori ini kerana ia adalah kewajipan yang menyucikan harta kita.

Cabaran Utama: Bezakan antara Keperluan dan Kemahuan (kehendak). Kereta itu keperluan untuk pergi kerja, tapi kereta import mewah mungkin itu kehendak. Rumah itu keperluan, tapi menyewa kondominium di pusat bandar dengan harga premium mungkin kehendak.

2. 30% untuk Kehendak (Wants) – “Seronok Jika Ada”

Inilah bahagian yang paling best tentang Bajet 50/30/20. Ia tak suruh anda jadi kedekut sampai tak boleh nikmati hidup. Anda dibenarkan guna 30% daripada gaji untuk gaya hidup.

Ini duit untuk jiwa kacau, untuk reward diri sendiri selepas penat bekerja:

  • Langganan hiburan (Netflix, Spotify).
  • Makan di kafe hipster atau restoran sedap hujung minggu.
  • Hobi (beli game, peralatan sukan, koleksi, mekap).
  • Tiket wayang atau konsert.
  • Tabung percutian.

Tapi ingat, kuncinya adalah had 30%. Kalau gaji bersih RM3,000, anda ada RM900 untuk berseronok. Kalau habis RM900 ni dalam masa seminggu, maka terpaksalah “puasa” hiburan untuk 3 minggu seterusnya. Jangan curi duit dari kategori lain!

3. 20% untuk Simpanan & Hutang (Savings & Debt) – “Masa Depan”

Baki 20% terakhir ini adalah yang paling kritikal. Ini adalah duit untuk “Diri Anda di Masa Depan”. Jangan sesekali abaikan bahagian ini kalau nak tidur lena.

Ke mana duit bajet 20% ini patut pergi?

  • Tabung Kecemasan: Sasarkan simpanan setara 3 hingga 6 bulan gaji. Ini untuk waktu sesak (tayaya pecah, peti ais rosak, hilang kerja).
  • Bayar Hutang Tertunggak: Kalau ada hutang kad kredit atau pinjaman peribadi, bayar lebih daripada jumlah minimum guna duit ini.
  • Pelaburan: ASB, Tabung Haji, atau pelaburan lain untuk kembangkan duit.
  • Perlindungan: Caruman Takaful atau Insurans (Medical Card/Hibah). Kalau sakit atau kemalangan, duit simpanan takkan habis licin kalau ada perlindungan.

Prinsipnya mudah: Bayar Diri Sendiri Dahulu. Sebaik sahaja gaji masuk, asingkan 20% ini sebelum anda mula berbelanja.

Awas: Perangkap “Sinking Funds” (Perbelanjaan Berkala)

Ramai orang gagal ikut bajet sebab terlupa benda ni. Ada bayaran yang bukan datang tiap bulan, tapi bila sampai masa, jumlahnya besar.

Contohnya:

  • Cukai Jalan (Roadtax) & Insurans Kereta.
  • Servis kereta major.
  • Cukai Pintu / Cukai Tanah.
  • Duit Raya / Hadiah Kenduri Kahwin.

Cara Atasi: Kira berapa kos setahun, bahagi dengan 12 bulan, dan masukkan jumlah kecil tu dalam bajet bulanan anda (boleh ambil dari bahagian 50% atau 30%). Simpan dalam sub-akaun khas supaya tak terkejut beruk bila tarikh renewal roadtax sampai.

Realiti Semasa: Bolehkah Diubahsuai?

“Tapi kos sara hidup sekarang tinggi, 50% mana cukup untuk keperluan!”

Betul, realiti ekonomi berbeza untuk setiap orang, terutamanya yang tinggal di bandar besar atau ada tanggungan ramai. Formula 50/30/20 ini bukan undang-undang batu. Ia panduan.

Jika keperluan asas anda menelan 60% atau 70% gaji, tak mengapa. Anda boleh ubah suai menjadi:

  • 70/20/10 (70% Keperluan, 20% Kehendak, 10% Simpanan).
  • 60/20/20 (Kurangkan sikit hiburan untuk tampung keperluan).

Syarat wajib: Jangan jadikan bahagian Simpanan itu KOSONG (0%). Biar sedikit, asalkan ada dan konsisten.

Tips Pro: Automasikan Segalanya!

Kelemahan manusia ialah disiplin. Jadi, jangan harap pada kekuatan mental semata-mata. Gunakan teknologi:

  1. Buka 3 akaun bank berbeza – Formula bajet 70/20/10 (atau guna fungsi tabung dalam aplikasi bank).
  2. Setkan Auto-debit pada hari gaji masuk. Gaji masuk, Tolak 20% terus ke akaun simpanan/pelaburan (yang susah nak dikorek). Tolak komitmen tetap (rumah/kereta).
  3. Baki yang tinggal dalam akaun utama tu, barulah anda guna untuk belanja harian dan enjoy.

Kesimpulan

Menguruskan duit tak semestinya menyeksakan. Dengan panduan kuasa bajet 50/30/20, anda tahu ke mana setiap sen duit anda pergi. Anda tak perlu rasa bersalah nak beli kopi mahal atau tengok wayang, asalkan ia dalam bajet 30% anda. Dan yang paling penting, tidur malam lebih lena bila tahu masa depan anda terjamin dengan simpanan 20% itu.

Mulakan kiraan anda hari ini. Gaji bulan depan, kita buat betul-betul!

Kongsikan Artikel Ini

Mencari Pelan Takaful?

Kami Bantu Anda Untuk Rangka Pelan Takaful Anda