Salah satu komponen dalam Pelan Takaful yang sering membuat orang keliru adalah Cash Value (Nilai Tunai) dan Simpanan. Kebanyakan masyarakat akan mempersoalkan :

  1. Dari mana datang Cash Value?
  2. Adakah Cash Value sama dengan Akaun Simpanan?
  3. Apa kelebihan memiliki Polisi Pelan Takaful yang mempunyai Cash Value?

Jom kita bincangkan.

Cash Value Nilai Tunai Simpanan Takaful

1. Dari Mana Datang Cash Value?

Takaful adalah tabung risiko. Semakin tinggi umur, semakin tinggi risiko berlaku sakit dan kematian. Maka, semakin tinggi risiko, semakin tinggi harga caruman yang perlu dibuat.

Pelan Takaful Lama, caruman Takaful akan meningkat setiap tahun mengikut tahap umur. Sebagai contoh, Ali berumur 20 tahun, mendaftar Pelan Hibah X dengan caruman bulanan RM100. Pada tahun seterusnya, Ali mendapati caruman meningkat kepada RM112. Atas dasar tidak mengambil isu ini terlalu berat, maka Ali biarkan. Tetapi tahun demi tahun ianya makin naik. Ketika Ali berumur 30, Ali mendapati caruman bulanan yang perlu dibuat adalah RM208. Ali mula memikirkan berapa caruman akan datang dengan kenaikan yang perlu dibayar ketika umurnya 50 Tahun.

Umumnya, masyarakat tidak suka kenaikan harga. Seeloknya, jika daftar dengan harga RM100, maka sepatutnya kekalkan harga RM100 selamanya. Maka, atas permintaan ini, Syarikat Takaful memperkenalkan Pelan Takaful Baru yang membolehkan perkara tersebut dapat diatasi.

Pelan Takaful Baru, caruman Takaful kekal setiap tahun walaupun berlaku peningkatan umur. Sebagai contoh, Ahmad berumur 20 tahun, mendaftar Pelan Hibah Y dengan caruman bulanan RM140. Pada tahun berikut dan seterusnya, caruman bulanan kekal RM140. Bahkan, Ahmad tidak perlu runsing dan risau tentang sebarang kenaikan yang dikenakan pada caruman Pelan Takafulnya.

Graf Cash Value Nilai Tunai Simpanan Takaful
Graf Cash Value Nilai Tunai Simpanan Takaful

Melalui Pelan Takaful Lama dan Pelan Takaful Baru (rujuk graf di atas), 2 perkara dapat kita lihat. Caruman permulaan sama ada rendah atau tinggi. Dan, berlakunya kenaikan caruman atau tidak (caruman kekal). Secara mudahnya :

  1. Pelan Takaful Lama, setiap caruman terbahagi kepada 2 pecahan :
    • Sebahagian kecil akan digunakan sebagai Kos Pemprosesan (Yuran Wakalah).
    • Sebahagian besar akan diletakkan di dalam Tabung Risiko (Tabung Tabarru’).
  2. Pelan Takaful Lama, setiap caruman terbahagi kepada 3 pecahan :
    • Sebahagian kecil akan digunakan sebagai Kos Pemprosesan (Yuran Wakalah).
    • Sebahagian besar akan diletakkan di dalam Tabung Risiko (Tabung Tabarru’) dan Lebihan Tunai.

Lebihan Tunai ini nampak seperti tidak berfungsi sepenuhnya pada peringkat awal. Lebihan ini akan mula digunakan apabila kenaikan caruman mula berlaku. Maka dengan itu, sebarang kenaikan caruman yang sepatutnya kita perlu buat, akan dibayar oleh Lebihan ini secara tidak langsung.

Lebihan ini tidak hanya disimpan bulat-bulat, malah, ianya akan dilaburkan kepada Operator-Operator Pelaburan Patuh Syariah untuk memastikan amaunnya akan sentiasa meningkat. Amaun ini dikenali sebagai Cash Value atau Nilai Tunai.

2. Adakah Cash Value Sama Dengan Akaun Simpanan?

Pelan Simpanan atau Akaun Simpanan pada umumnya perlu wujud 4 elemen ini :

  1. Mudah untuk tahu berapa nilai semasa, serta naik turun nilai simpanan jika ada skim pelaburan di dalamnya.
  2. Simpanan boleh dan senang dikeluarkan jika berlaku ‘Emergency‘. Tidak kira berapa amaun sekali pun.
  3. Simpanan boleh dan mudah ditambah pada bila-bila masa. Tidak kira berapa amaun sekali pun.
  4. Tempat simpanan atau akaun simpanan betul-betul selamat.

Dalam Pelan Takaful, Cash Value :

  1. Sukar untuk tahu berapa nilai semasa.
    • Perlu ke kaunter atau hubungi Careline Syarikat Takaful untuk pengesahan dan sebagainya.
  2. Simpanan hampir tidak boleh dan sukar dikeluarkan jika berlaku ‘Emergency‘.
    • Perlu ke kaunter dan isi borang pengeluaran.
    • Ada syarikat yang tidak akan beri secara Tunai (cash), perlu tunggu beberapa hari untuk proses dan dimasukkan ke akaun bank.
    • Jika amaun kurang dari RM2,000 sebarang pengeluaran tidak dibenarkan.
    • Jika dapat dikeluarkan juga, polisi anda bakal menghadapi kenaikan harga caruman akibat susut nilai pada Cash Value. Ertinya, Cash Value tidak mampu menanggung kenaikan harga caruman.
  3. Simpanan tidak boleh atau sukar ditambah pada bila-bila masa. Perlu ke kaunter, isi borang dan paling penting terhad untuk beberapa nilai untuk sekali kemasukan. Kebiasaannya RM500.
  4. Tempat simpanan atau akaun simpanan betul-betul selamat. Ini sama seperti Akaun Simpanan Bank.

Maka, sama sekali Cash Value di dalam Pelan Takaful TIDAK SAMA dengan Akaun Simpanan. Bahkan, boleh dikatakan Pelan Takaful tidak sesuai untuk dijadikan Pelan Simpanan atau Akaun Simpanan Tunai.

3. Apa Kelebihan Memiliki Polisi Pelan Takaful Yang Mempunyai Cash Value?

Banyak kelebihan Cash Value (Nilai Tunai) di dalam Pelan Takaful. Antaranya :

  1. Harga caruman untuk Polisi Pelan Takaful terjamin kekal harganya sehingga tempoh matang polisi.
  2. Tidak perlu risau dengan isu kenaikan harga yang berlegar di media sosial khususnya.
  3. Jika berlaku masalah kewangan yang menyebabkan anda tidak mampu bayar caruman buat beberapa tempoh, caruman anda akan dipotong terus dari Cash Value selagi ada baki. Maka, Polisi Pelan Takaful anda kekal berkuat kuasa dan tidak akan ada masalah Overdue atau Lapsed.

Terdapat banyak Pelan Takaful AIA yang mempunyai elemen Cash Value salah satunya Pelan Takaful Hibah.

Kesimpulannya, hati-hati dengan agen Takaful yang memberi jaminan palsu “Pelan Takaful ini ada Simpanan”. Tanya detail lebih lanjut untuk dapat maklumat yang betul-betul sahih. Semoga perkongsian ini dapat membuka mata kita semua tentang perbezaan Cash Value (Nilai Tunai) dan Akaun Simpanan.

Mencari Pelan Takaful?

Kami Bantu Anda Untuk Rangka Pelan Takaful Anda