Kematian adalah satu kepastian, tetapi kelangsungan hidup waris yang ditinggalkan seringkali tidak menentu. Bayangkan satu situasi dimana, ketua keluarga meninggal dunia, dan serta-merta, semua akaun bank, pelaburan, dan hartanah miliknya dibekukan. Keluarga bukan sahaja kehilangan orang tersayang, tetapi hilang juga punca pendapatan dan akses kepada dana simpanan dalam sekelip mata.

Inilah realiti pahit masalah Aset Beku. Di Malaysia, dianggarkan lebih RM70 bilion harta pusaka terbeku (aset beku), meninggalkan ribuan keluarga dalam keadaan terdesak. Namun, ada satu instrumen perancangan kewangan yang sering diabaikan tetapi amat berkuasa untuk menyelesaikan masalah ini: Hibah Takaful.
Apa Realiti Sebenar Aset Beku?
Apabila seseorang meninggal dunia, undang-undang menetapkan bahawa semua asetnya mesti dibekukan. Tujuannya baik iaitu untuk melindungi harta si mati daripada disalahgunakan dan untuk memastikan ia diagihkan secara adil kepada waris yang berhak. Namun, proses untuk “mencairkan” semula aset ini panjang, rumit, dan menelan kos yang tinggi.
Kesan pembekuan harta ini akan menimbulkan beberapa masalah besar, antaranya:
- Waris tidak boleh mengeluarkan walau satu sen pun daripada akaun si mati untuk perbelanjaan harian, bil, atau yuran persekolahan anak-anak.
- Proses pengurusan pusaka boleh mengambil masa yang sangat lama, mungkin berbulan-bulan, malah bertahun-tahun jika terdapat sebarang komplikasi.
- Untuk memulakan proses tuntutan, waris memerlukan kos tersurat dan tersirat yang sangat tinggi. Dari wang pendahuluan untuk melantik peguam, membayar kos mahkamah, duti setem, sehinggalah pelbagai caj pentadbiran lain. Kos ini boleh mencecah ribuan ringgit, bergantung pada nilai harta yang dibekukan.
Adakah Wasiat & Penamaan Boleh Jadi Jalan Pintas Selesaikan Aset Beku?
Ramai yang beranggapan dengan membuat wasiat atau meletakkan penama di KWSP dan Tabung Haji, masalah ini selesai. Hakikatnya tidak begitu, terutamanya bagi orang Islam.
- Penamaan (KWSP/Tabung Haji): Penama bagi seorang Muslim hanyalah seorang pentadbir (wasi). Dia bertanggungjawab untuk mengeluarkan wang tersebut tetapi wajib mengagihkannya mengikut hukum Faraid kepada semua waris yang berhak. Ia bukan milik mutlak penama.
- Wasiat: Wasiat adalah dokumen yang baik untuk hasrat pemberian harta, tetapi ia sebahagian daripada harta pusaka. Ini bermakna, ia tetap perlu melalui proses mahkamah yang panjang untuk disahkan dan boleh dicabar oleh waris lain. Ia tidak menyediakan dana tunai secara segera.
Kedua-dua instrumen ini tidak memberikan akses wang tunai segera kepada waris untuk kelangsungan hidup.
Penyelesaian Tunai Secara Pantas & Patuh Syariah Guna Hibah Takaful
Di sinilah Hibah Takaful memainkan peranan sebagai penyelamat kewangan. Hibah Takaful ialah pemberian manfaat (pampasan) Takaful kepada seseorang sebagai hadiah semasa pemilik sijil masih hidup.
Bagaimana Hibah Takaful Menyelesaikan Masalah Aset Beku?
- Manfaat Hibah Takaful tidak termasuk dalam kategori harta pusaka. Oleh itu, ia tidak dibekukan. Wang pampasan dibayar terus kepada penerima hibah (penama) dalam tempoh yang singkat, biasanya dalam 5-30 hari bekerja.
- Penerima Hibah adalah pemilik mutlak dana tersebut. Wang itu tidak perlu diagihkan mengikut Faraid dan tidak boleh dituntut oleh waris atau orang lain.
- Dana atau pampasan tunai segera ini boleh digunakan untuk:
- Membiayai perbelanjaan keluarga sementara menunggu aset lain dicairkan.
- Melangsaikan hutang-piutang si mati (wajib diselesaikan sebelum pembahagian Faraid).
- Menampung semua kos yang diperlukan untuk memulakan proses tuntutan harta pusaka.
Kajian Kes Berkaitan Masalah Aset Beku
Mari kita lihat perbezaan ketara antara perancangan dan kelalaian:
Keluarga A (Tanpa Hibah Takaful)
Encik Ali meninggal dunia, meninggalkan isteri dan tiga anak. Semua simpanannya sebanyak RM300,000 di bank dan ASNB dibekukan. Isterinya tiada wang tunai yang cukup dan terpaksa meminjam daripada ahli keluarga untuk membiayai kos guaman yang mencecah RM15,000. Proses tuntutan berlarutan selama dua tahun, menyebabkan keluarga hidup dalam tekanan kewangan.
Keluarga B (Dengan Hibah Takaful)
Encik Bakar juga meninggal dunia. Namun, beliau mempunyai pelan Hibah Takaful sebanyak RM350,000. Dalam masa 14 hari, isterinya menerima dana tersebut. Beliau menggunakannya untuk perbelanjaan harian, melangsaikan baki pinjaman kereta, dan melantik peguam untuk menguruskan aset-aset beku yang lain dengan tenang tanpa sebarang masalah kewangan.
Siapa yang Paling Memerlukan Hibah Takaful?
Setiap orang yang mempunyai tanggungan atau aset perlu mempertimbangkan Hibah Takaful, terutamanya:
- Ketua Keluarga/Pencari Nafkah Utama.
- Pemilik Perniagaan.
- Ibu bapa dengan anak-anak yang masih kecil.
- Sesiapa sahaja yang mempunyai komitmen hutang seperti pinjaman perumahan atau kenderaan.
Untuk keterangan lanjut tentang persoalan ini, rujuk artikel: Siapa Sebenarnya yang Paling Sesuai Buat Takaful Hibah?
Apa Langkah Anda Seterusnya?
Aset beku bukanlah masalah kecil; ia adalah ‘bom jangka’ yang boleh melumpuhkan kewangan keluarga anda. Jangan biarkan waris anda menanggung beban ini.
Ambil langkah proaktif hari ini:
- Semak Kedudukan Kewangan: Senaraikan semua aset dan hutang anda.
- Kira Keperluan Dana Segera: Anggarkan berapa banyak wang tunai yang diperlukan oleh keluarga anda untuk hidup selama sekurang-kurangnya setahun dan untuk menampung kos pengurusan pusaka.
- Dapatkan Nasihat Profesional: Berbincanglah dengan Perunding Takaful yang bertauliah untuk merangka pelan hibah yang sesuai dengan keperluan dan kemampuan anda.
Perancangan hari ini adalah hadiah paling bernilai untuk ketenangan fikiran keluarga anda pada masa hadapan.
Kesimpulan
Secara ringkasnya, meninggalkan harta tanpa perancangan kewangan yang rapi, ibarat memberikan peti harta karun tanpa kuncinya. Aset yang dibekukan boleh menyebabkan beban kewangan dan emosi yang berat kepada waris, mengubah harta yang sepatutnya menjadi rahmat kepada punca sengketa.
Hibah Takaful bukanlah bertujuan untuk menafikan hukum Faraid, sebaliknya ia bertindak sebagai alat pemudah cara yang amat berkesan. Ia menyediakan ‘kunci’, iaitu dana pampasan tunai segera yang membolehkan waris menguruskan kelangsungan hidup dan memulakan proses tuntutan pusaka dengan lancar. Membuat perancangan Takaful hari ini adalah bukti kasih sayang dan tanggungjawab kita yang paling utama kepada keluarga yang bakal ditinggalkan. Usah tinggalkan mereka dengan aset beku.
Mencari Pelan Takaful?
Kami Bantu Anda Untuk Rangka Pelan Takaful Anda