Ia khusus untuk menenangkan kaum lelaki dari serabut memikirkan apa yang perlu disediakan sebelum berkahwin. Terutamanya dalam bab kewangan.
Menjadi suatu dilema untuk setiap yang bergelar lelaki apabila sampai seruan untuk mendirikan rumah tangga. Terlalu banyak perkara yang mula difikirkan. Bercampur baur perasaan gembira, teruja dan takut, walaupun percaya Tuhan yang menurunkan dan memberikan rezeki.
Apakah Persediaan Kewangan Yang Perlu Dibuat Sebelum Berkahwin?
Berikut adalah 6 Perkara Tunjang dalam persediaan dan perancangan kewangan sebelum berkahwin :
- Berbincang Segalanya Dengan Pasangan
- Buat Kiraan Anggaran Kos Kasar Perkahwinan
- Jangan Sesekali Ambil Pinjaman Peribadi
- Mula Menabung Seawal Yang Mungkin
- Kerja Lebih Masa atau Buat Kerja Sampingan Jika Perlu
- Rancang Matlamat Kewangan Masa Depan
Berbincang Segalanya Dengan Pasangan
Jangan pendam masalah sendiri. Mulakan rasa untuk mudah berbincang. Dalam sebuah rumahtangga, kunci utama adalah komunikasi. Jangan malu untuk bersikap jujur dan terbuka. Jika pasangan anda seorang yang telah ditetapkan Tuhan sebagai jodoh, ia akan sangat memahami anda dan akan mengurangkan beban serta tekanan, baik sekarang mahupun sehingga akhir hayat.
Jadi, tetapkan masa dan tempat untuk berbincang. Fokus kepada topik masalah dan perancangan kewangan. Dapatkan kata dan penyelesaian secara sepakat. Paling penting, ukur baju di badan sendiri. Buat sekadar yang mampu, tidak melampau sehingga membebankan masa hadapan.
Buat Kiraan Anggaran Kos Kasar Perkahwinan
Anggarkan berapa jumlah kos yang diperlukan dari hari majlis merisik sehingga selesai majlis perkahwinan.
Kebiasaannya, anggaran kos meliputi :
- Majlis Merisik (RM500 ke RM1,000)
- Majlis Pertunangan (RM1,000 ke RM3,000)
- Duit Hantaran (RM8,000 ke RM20,000)
- Majlis Akad Nikah (RM500 ke RM5,000)
- Majlis Persandingan (RM15,000 ke RM30,000)
- Kos Masuk Rumah Bersama – Sewa atau Beli (RM3,000 ke RM5,000)
Setelah mendapat jumlah kos kasar, bahagikan dengan berapa tempoh yang diperlukan sebelum sampai ke tarikh-tarikh majlis tersebut. Contohnya :
- Majlis Merisik (RM500)
- Dalam tempoh 2 Bulan lagi. Sebulan perlu simpan RM250.
- Majlis Pertunangan (RM1,200)
- Dalam tempoh 6 Bulan lagi. Sebulan perlu simpan RM200.
- Duit Hantaran (RM10,000)
- Perlu disediakan dalam tempoh 2 Tahun lagi. Sebulan perlu simpan RM420.
- Majlis Akad Nikah (RM800)
- Perlu disediakan dalam tempoh 2 Tahun lagi. Sebulan perlu simpan RM35
- Majlis Persandingan (RM15,000)
- Perlu disediakan dalam tempoh 2 Tahun lagi. Sebulan perlu simpan RM625
- Kos Masuk Rumah Bersama
- Sewa atau Beli (RM3,000) – Perlu disediakan dalam tempoh 2 Tahun lagi. Sebulan perlu simpan RM125
Di sini kita tahu bahawa jumlah keseluruhannya adalah RM30,500 anggaran simpanan yang perlu disediakan setiap bulan adalah RM1,655.
Jangan Sesekali Ambil Pinjaman Peribadi
Kesilapan yang berlaku pada Majoriti rakyat Malaysia. Berdasarkan rekod kes, setelah membuat pinjaman, peminjam akan menghabiskan hutang dalam tempoh 10 tahun atau lebih. Lebih menyedihkan sebahagian direkodkan muflis.
Anak sudah masuk sekolah pun hutang perkahwinan masih tidak selesai. Masalah lebih teruk jika muflis di usia sangat muda.
Jika belanjanya besar, cari jalan untuk kurangkan kos. Elakkan meminjam. Perkahwinan murah tidak sesekali menggambarkan perkahwinan itu tidak akan kekal.
Mula Menabung Seawal Yang Mungkin
Sebaiknya, mulalah menyimpan dari usia muda, iaitu pada tarikh hari anda mempunyai pendapatan sendiri (gaji pertama). Majoriti daripada kita mula sedar hendak menyimpan apabila ibu bapa sudah menyuruh untuk kahwin. Ia tindakan yang agak terlambat.
Jika ianya berlaku, jangan menyesal. Ia masih boleh dirancang. Anda masih mempunyai masa dan tenaga untuk dikerahkan untuk menyediakan sejumlah wang untuk digunakan untuk hari perkahwinan anda.
Kerja Lebih Masa atau Buat Kerja Sampingan Jika Perlu
Jika kita ambil contoh yang sama seperti diatas. Simpanan yang perlu dibuat setiap bulan adalah RM1,655. Tetapi dalam keadaan semasa, anda hanya mampu menyimpan RM500. Anda masih kekurangan RM1,155. Apa perlu anda buat? 2 Cara :
Cara Pertama. Anda rancang balik, kurangkan kos seminima mungkin. Jika tidak boleh, anda perlu bertindak kepada cara kedua.
Cara Kedua. Cari duit tambahan. Zaman kini terlalu banyak kerja yang boleh anda buat secara sampingan. Peluang perniagaan dibuka seluas-luasnya. Tidak kira secara ‘Online’ mahupun ‘Offline’. Anda hanya perlu yakin dan istiqamah. Ia pasti membuahkan hasil yang sangat baik.
Kami di AIA turut menawarkan kerja sambilan jika anda perlu. Rujuk Artikel Peluang Kerjaya Sambilan di AIA.
Rancang Matlamat Kewangan Masa Depan
Selain perancangan secara detail berkenaan persiapan perkahwinan, anda juga digalakkan untuk merancang masa depan kewangan setelah anda berkahwin. Dari segi rumah, kerjaya, perbelanjaan anak, sasaran simpanan persaraan, percutian dan banyak lagi.
Semoga dengan adanya perancangan ini secara kasar, anda memperolehi idea dan matlamat bersama bukan sahaja sebelum berkahwin, malah anda juga sudah merancang selepas anda duduk bersama pasangan.
Sebagai penutup, kata-kata hikmah ‘Kita Merancang, Tuhan Menentukan,’ membawa makna yang besar. Kita wajib merancang. Setelah itu, kita tawakkal. Tuhan semestinya akan menentukan yang terbaik berkadar dengan apa yang kita telah rancang dan apa keperluan semasa yang kita perlukan.
Mencari Pelan Takaful?
Kami Bantu Anda Untuk Rangka Pelan Takaful Anda