Ramai ejen Takaful apabila bertemu dengan anda, akan terus bercerita tentang Takaful mampu membantu anda ketika musibah seperti kematian, sakit, hilang upaya, kemalangan dan sebagainya berlaku. Secara tidak langsung anda mungkin akan rasa tertekan dengan topik berkaitan Takaful.
Tapi tahukah anda, yang lebih penting dari itu adalah setiap kali anda mencarum atau menyumbang, anda sedang membuat satu kebajikan iaitu Derma.
Konsep ini jarang ditekankan oleh Ejen (Agent) atau Perunding Takaful. Dan sepatutnya, sebelum anda mendapatkan sebarang Pelan Takaful, harus ada mentaliti bahawa Takaful yang anda akan daftar bukan hanya untuk membantu diri anda malah ia turut membantu kewangan orang lain juga.
Model Takaful jika dinilai dengan teliti, mampu memberikan impak besar terhadap ekonomi Islam secara besar. Kita kembali kepada beberapa perkara asas agar ia dapat merubah persepsi salah masyarakat terhadap Takaful.
Apa maksud Takaful?
Takaful bermaksud saling jamin-menjamin. Dalam erti kata lain, setiap yang bersama dalam Takaful akan menjamin atau membantu satu sama lain dengan syarat-syarat tertentu.
Pada asasnya, mereka yang menyertai Takaful akan menyumbang wang di dalam satu Tabung Khas. Tabung Khas ini dikenali sebagai Tabung Tabarru’.
Sekiranya berlaku apa-apa musibah (tertakhluk kepada yang disepakati semua peserta) kepada mana-mana peserta, sejumlah wang akan dikeluarkan dari Tabung Tabarru’ bagi membantu peserta tersebut.
Takaful dan Derma
Oleh yang demikian, niat dan akad Takaful pada peringkat awal lagi mestilah Derma. Anda sebagai peserta perlu sedar, dikalangan peserta yang bersama dalam Takaful tidak kira dia Muslim ataupun bukan Islam, jika berlaku musibah kepada mana-mana peserta, anda akan membantu dan menolongnya dengan menghulurkan derma tersebut.
Situasi yang sama juga akan berlaku sekiranya anda pula ditimpa musibah. Dimana, orang lain akan membantu anda dengan derma mereka yang diambil Tabung Tabarru’.
Takaful dan Tabung Khairat Kematian
Sebenarnya, konsep atau model Takaful ini sudah dipraktikkan lama dikebanyakan tempat sama ada kita sedar atau tidak seperti di Masjid, Surau, Kampung-Kampung dan Kediaman. Kita mungkin biasa dengar tentang Tabung Khairat atau Tabung Khairat Kematian Surau atau Masjid.
Anda sebagai ahli kariah jika ingin menyertainya, anda perlu membuat bayaran tahunan atau bulanan sekian-sekian dan akan menerima sekian-sekian manfaat jika berlaku musibah. Bergantung kepada tempat, musibah yang disepakati dikalangan ahli kariah dan ahli jawatan kuasa yang ditugaskan adalah berbeza. Musibah yang biasa kita dengar adalah seperti :
- Kematian.
- Kemalangan.
- Ditimpa Penyakit.
- Kemiskinan dan lain-lain.
Mungkin ada yang mempersoalkan, kenapa caruman Tabung Khairat di kawasan perumahan mereka jauh lebih rendah berbanding dengan caruman di Syarikat Takaful. Jawapan yang mudah, caruman yang kecil untuk pampasan atau jumlah bantuan yang kecil, caruman yang besar untuk pampasan atau jumlah bantuan yang lebih besar.
Persepsi Salah Umat Islam Terhadap Takaful
Untuk kebanyakan masyarakat Islam, tanggapan bahawa Takaful dan Insurans adalah benda yang sama, itu perkara biasa. Ada juga yang kata, Takaful adalah Insurans yang telah di’Islam’kan. Tanggapan ini tidak tepat.
Takaful menggunakan model yang jauh beza dengan Insurans. Rujuk perbezaan Takaful dan Insurans untuk keterangan lebih lanjut.
Tidak kurang juga yang beranggapan Takaful hanya akan cerita dapat pampasan jika berlaku kematian, kemalangan, sakit dan sebagainya.
Kurangnya kesedaran bahawa sebenarnya Takaful adalah medium Tabung Derma yang baik menyebabkan kita akan melakukan beberapa tanggapan yang pelik dan salah.
Antara tanggapan dan persepsi salah berkenaan Takaful termasuklah :
- Bayar lama-lama, tidak nampak manfaat dan boleh menyebabkan kerugian.
- Jika tidak berlaku musibah seperti kematian, sakit dan sebagainya, duit yang dicarum ghaib.
- Sangat mengharapkan habuan atau pulangan balik jika tidak berlaku apa-apa musibah.
- Berharap agar pampasan dan tuntutan boleh dirasai dengan kadar segera tanpa perlu menunggu dalam tempoh yang lama.
- Merasakan bahawa Takaful hanyalah mengkayakan ejen Takaful dan memiskinkan setiap peserta Takaful.
- Syarikat Takaful buat duit yang banyak menggunakan duit peserta. Dan banyak lagi.
Persepsi ini kadang kala berlaku akibat salah faham, kurangnya ilmu kewangan, salah informasi dari ejen Takaful dan sikap gopoh dari menilai maklumat yang datang dari pelbagai sumber.
Kesimpulan
Kami percaya, meletakkan perkataan Derma sebagai keutamaan sebelum anda mendaftar apa-apa Pelan Takaful boleh menyebabkan semua persepsi dan tanggapan salah ini boleh dicantas. Bayangkan setiap derma anda yang anda sumbangkan dalam Takaful akan membantu orang lain yang terkena musibah. Dan, berapa ramai orang yang anda akan dan boleh bantu. Bayangkan senyuman dan ketenangan mereka setelah mendapat sejumlah derma tersebut yang datang dari anda.
Begitu juga dengan anda. Bayangkan musibah berlaku kepada anda, peserta di dalam Takaful pula akan membantu anda. Mereka walaupun sama Islam dengan anda, tetapi mereka barangkali tidak mengenali anda. Mereka hanyalah melakukan tenggungjawab derma dan sumbangan kepada anda dengan berharap pahala dan doa dari anda.
Kita semua tidak minta musibah berlaku tetapi ia mungkin bakal berlaku kepada kita semua. Cuma kita tidak tahu kepada siapa, bila dan dimana. Dengan Derma dan Sumbangan dari Tabung Tabarru’ melalui sistem Takaful inilah yang kelak membantu dan mengukuhkan kembali ekonomi sesama Umat Islam yang telah berlaku musibah ke atasnya.
Mencari Pelan Takaful?
Kami Bantu Anda Untuk Rangka Pelan Takaful Anda